KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu orang Melayu menjadi lebih yakin kepada diri sendiri dan menghapuskan perasaan bimbang yang menguasai pemikiran mereka selama ini.
"Kebimbangan itu terlalu lama mendominasi pemikiran Melayu. Sudah terlalu lama... 50 tahun merdeka pun masih takut lagi.
"Di kalangan orang Melayu profesional, suara-suara takut itu sudah tiada, namun bagi (kebanyakan) orang Melayu, mereka masih menyuarakan suara kebimbangan," kata Perdana Menteri.
Presiden Umno berkata, orang Melayu perlu sedar bahawa mereka tidak boleh terus mengharapkan kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB) atau bantuan kerajaan semata-mata.
"Orang Melayu kena belajar berdikari dan belajar berdaya saing.
Kita perlu membantu mereka yang benar-benar ingin berniaga dan berusaha," katanya dalam wawancara khas dengan Mingguan Malaysia menjelang Perhimpunan Agung Umno 2007, yang diterbitkan, semalam.
Perdana Menteri berkata: "Saya mahu orang Melayu memanfaatkan peluang diberi dengan cara yang terbaik. Kerajaan menyediakan banyak peluang, terutama di koridor pembangunan ekonomi, jadi mereka perlu menunjukkan keberanian dan ambil inisiatif untuk menjayakan peluang ini.
"Tiada jalan senang untuk maju. Hanya yang berilmu dan berpengetahuan, sabar dan tekun yang akan berjaya akhirnya."
Abdullah berkata, bagi mengubah minda manusia memang mengambil masa yang lama "tetapi saya sudah banyak kali berkata, Melayu bukannya bodoh atau lemah."
Mengenai pandangan bahawa wujud perbezaan antara kepemimpinan Melayu dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bertaraf antarabangsa dan kepemimpinan kumpulan pelapis dalam Umno, Perdana Menteri menjawab:
"Orang Melayu memang suka buat pengumuman. Mereka macam ayam bertelur sebiji, satu kampung tahu. Penyu diam saja ketika bertelur, tahu-tahu saja sudah banyak anak. Kita perlu kurangkan bercakap, tetapi banyakkan kerja."
Bagaimanapun, Abdullah berkata, beliau tidak setuju dengan pandangan pemimpin pelapis Umno tidak dinamik, kerana katanya, ramai anak muda dalam barisan pimpinan Umno sekarang terdiri daripada mereka berkaliber dan berkebolehan.
"Saya memang yakin pemimpin pelapis ini dapat membawa Umno ke arah kegemilangan � dengan syarat mereka melengkapkan diri supaya mampu menghadapi cabaran yang mendatang," katanya.
Merujuk gaya kepemimpinannya, Abdullah berkata: �Gaya saya memang saya akan pekakkan telinga bila ada pihak yang cakap tak menentu. Saya lebih suka tumpukan kepada kerja daripada melayan cakap-cakap yang tidak membina."
Mengenai pandangan negatif mengenai Agenda Melayu, beliau berkata, ia timbul kerana kurangnya kefahaman mengenai perkara itu hingga orang berani bercakap mengenainya.
"Tapi saya katakan, ia memerlukan pemimpin yang berani untuk membenarkan orang lain bercakap. Ia memerlukan pemimpin yang berani untuk memaafkan dan melupakan, dan memberikan seseorang itu peluang kedua," katanya.
Mengenai Perhimpunan Agung Umno kali ini, Abdullah berkata, Umno perlu menunjukkan menerusi usul yang akan dibentangkan nanti sumbangan parti itu yang bergerak untuk semua rakyat. � Bernama
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment