Monday, November 05, 2007

‘Jangan masuk UMNO jadi batu loncatan’

KUALA LUMPUR 4 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan perwakilan Kelab UMNO Luar Negara agar menjadikan penyertaan mereka dalam parti sebagai satu cara untuk berkhidmat dan bukan untuk dijadikan batu loncatan.

Timbalan Presiden UMNO berkata, nilai-nilai tersebut perlu dipertahan dan diperkukuhkan kerana tanpanya, parti dan tamadun akan runtuh.

Untuk itu, kata beliau, satu perkara yang amat penting apabila menyertai UMNO ialah bertanya kepada diri sendiri apakah yang boleh diberi kepada UMNO dan bukannya apa yang dapat diperoleh daripada UMNO.

“Kalau ada pendirian ini, insya Allah kita akan jadi parti yang kuat sepanjang masa

“Tetapi bila masuk UMNO untuk jadikan batu loncatan, iaitu nak kira ada udang di sebalik batu atau mungkin ada udang karang di sebalik batu, nilai kita merosot. Bukan saja parti politik, tamadun (bangsa) pun boleh hancur kalau nilai-nilai terhakis,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap pada majlis penutup Kursus Kepimpinan Kelab UMNO Luar Negara 2007 di sini, hari ini.

Kursus dua hari yang bertema ‘Malaysiaku Gemilang: Hala Tuju Sepanjang 50 Tahun Akan Datang’ itu dihadiri 66 perwakilan daripada 68 Kelab UMNO di seluruh dunia dan 94 pemerhati.

Najib turut menasihatkan wakil-wakil kelab agar memainkan peranan untuk menjadikan UMNO terus relevan di dalam era globalisasi dan bagi generasi tahun 2020.

Beliau berkata, mereka perlu berfikiran terbuka dan memastikan mesej parti tersebar kepada semua pelajar dan bukan setakat kepada ahli-ahli mereka.

No comments: