Oleh Norfatimah Ahmad, Anwar Hussin, Saufi Hamzah dan Rohaniza Idris
Perhimpunan Agung Umno bahas persiapan pilihan raya umum
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno 2007 yang bermula hari ini, dilihat penting bagi memperkukuhkan perpaduan parti sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang, selain meneruskan agenda membela bangsa Melayu untuk tempoh 50 tahun akan datang.
Malah, perbahasan pada perhimpunan yang dihadiri 2,522 perwakilan dari 190 bahagian itu dijangka menjurus kepada agenda memperkukuhkan parti bagi memastikan Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan besar pada pilihan raya berkenaan, yang kedua di bawah kepimpinan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perbahasan kali ini dijangka lebih banyak berkisar mengenai persiapan pilihan raya umum dan Presiden juga tentu akan menyentuh mengenai isu itu.
"Saya fikir turut disentuh ialah mengenai hubungan antara parti komponen BN yang mesti dimantapkan dan dengan pilihan raya semakin hampir, kita tidak mahu satu gambaran seolah-olah ada perselisihan dan perpecahan dalam BN.
"Waktu ini cukup penting untuk kita memberi persepsi betul mengenai Umno dan BN," katanya dalam satu pertemuan dengan Berita Harian di kediamannya di sini.
Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz, pula berkata persiapan pilihan raya umum akan disentuh dalam amanatnya pada persidangan pergerakan itu esok dengan tumpuan diberi kepada usaha menentukan kemenangan besar BN.
"Wanita Umno akan terus melaksanakan tugas untuk mendekati pengundi dengan cara yang sudah lama dilaksanakan sebelum ini, iaitu Satu Ketua 10 Pengundi atau K10 yang terbukti mampu mendekatkan Umno dan parti komponen lain dengan pengundi berbilang bangsa," katanya.
Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Seri Ibrahim Abu Shah pula yakin perhimpunan Umno kali ini tidak akan membangkitkan isu sensitif kerana pilihan raya umum semakin hampir.
"Tentunya tidak ada yang mahu menimbulkan sesuatu yang boleh memburukkan keadaan kerana ketika ini senario politik negara sendiri amat mencemaskan bangsa Melayu," katanya ketika ditemui pada Seminar Agenda Melayu Ketiga: Politik di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Bhd, Tan Sri Rozali Ismail yang ditemui pada majlis itu berharap perhimpunan Umno kali ini melihat kelemahan dan perkara yang belum diselesaikan 50 tahun lalu untuk meneruskan agensi bagi tempoh lima dekad akan datang.
Beliau memberi contohnya, ekuiti 30 peratus hak Bumiputera yang setakat ini masih gagal dicapai sepatutnya diberi tumpuan serius dan disusuli dengan tindakan tanpa sebarang kompromi.
"Keberanian pemimpin, pentadbir dan pelaksana dasar kerajaan penting untuk membawa perubahan kerana tanpa kesungguhan mereka, nasib bangsa Melayu akan kekal di tahap sekarang," katanya.
Ditanya sama ada perjuangan membela orang Melayu akan menimbulkan rasa tidak senang kaum lain, terutama menjelang pilihan raya umum, Rozali berkata, perasaan takut tidak seharusnya mengganggu tugas untuk mencapai matlamat perjuangan Umno.
"Nasib bangsa lain sudah terbela dan terbukti mereka sudah mendapat lebih daripada kita. Jika kita terus takut tentunya kita akan rugi dan hilang segala-galanya," katanya.
Presiden International Movement for Just World, Dr Chandra Muzaffar, ketika dihubungi pula berkata ahli Umno perlu memberi perhatian terhadap tiga perkara utama, iaitu perpaduan kaum, impak globalisasi dan masa depan umat Islam.
"Saya tidak menggariskan secara khusus mengenai agenda Melayu kerana percaya isu berkenaan akan diketengahkan, cuba ia perlu dibincangkan dalam konteks globalisasi.
�"Perwakilan Umno juga perlu melihat setiap isu dengan gambaran yang lebih luas kerana isu globalisasi daripada segi ekonomi, budaya, politik dan keselamatan membawa impak mendalam kepada negara.
"Sebarang perubahan di peringkat antarabangsa akan memberi kesan kepada kita. Contohnya, saingan antarabangsa dan keupayaan firma Melayu bersaing di peta dunia serta isu perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat, boleh memberi kesan kepada ekonomi negara," katanya.
Chandra Muzaffar berkata, sesuai dengan tugas Perdana Menteri sebagai Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), isu antarabangsa berkaitan umat Islam juga wajar diberi tumpuan.
"Nasib umat Islam di Iran yang mungkin diserang Amerika Syarikat, selain masalah yang dihadapi penduduk Iraq dan Afghanistan juga penting kerana Islam dan politik antarabangsa adalah soal besar yang perlu mendapat perhatian Umno sebagai parti pimpinan negara," katanya.
Selain itu, katanya, Umno sebagai parti induk perlu mengupas aspek perpaduan kaum bagi mengeratkan hubungan masyarakat berbilang bangsa dan agama supaya arah aliran masa depan negara lebih jelas.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment