Oleh Anwar Hussin dan Saufi Hamzah
SIBUK: Kakitangan Ibu Pejabat Umno, Suhana Mohd Ahir dan rakan menyusun Buku Penyata Tahunan 2006-2007 bagi persiapan terakhir Perhimpunan Agung Umno 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam. |
Perhimpunan agung bukan pentas perwakilan lobi, tonjol diri calon pilihan raya
KUALA LUMPUR: Pimpinan Umno akur dengan peringatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Razak supaya perwakilan parti tidak menjadikan perhimpunan agung bermula hari ini sebagai pentas melobi dan menonjolkan diri sebagai calon pilihan raya umum.
Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata beliau percaya pemimpin atasan parti lebih matang dan mereka akan membuat yang terbaik untuk negara dan negeri.
Beliau berkata, sistem dalam pemilihan calon sudah cukup matang dan digunakan selama ini bagi memilih calon pilihan raya.
"Manusia ini selagi dia boleh melobi, dia akan cuba melobi lebih-lebih lagi orang yang mempunyai cita-cita dan harapan...bukan perkara luar biasa. Pemilihan akan melalui proses tertentu dan kadangkala calon digugurkan pada saat akhir.
"Secara umum, sistem kita baik dan mantap serta mengambil kira kehendak pemimpin, akar umbi, Umno dan pengundi. Cuma kenyataan Najib mengingatkan kita tak payah lobi kerana parti ada cara memutuskannya," katanya pada sidang media selepas Ceramah Khas Kursus Kepemimpinan Kelab Umno Luar Negara, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini semalam.
Timbalan Perdana Menteri ketika temu bual dengan akhbar ini berkata, perwakilan tidak harus menganggap perhimpunan yang dihadiri 2,522 perwakilan mewakili 190 bahagian Umno itu sebagai medan melobi bagi menyerlahkan peluang menjadi calon kerana cara itu boleh �menikam diri sendiri.�
Seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi, Tan Sri Rahim Tamby Chik, berkata matlamat utama perhimpunan agung ialah menyuarakan hasrat akar umbi dan permasalahan, kesulitan serta perkara yang patut disuarakan dari peringkat cawangan, negeri dan Pusat.
"Segala permasalahan itu mungkin terpinggir dan ini kesilapan besar jika perwakilan menjadikan perhimpunan agung untuk melobi sebagai calon.
Jangan gunakan perhimpunan untuk tujuan peribadi dan membuat sesuatu yang memberi tanggapan seolah-olah kita paling layak jadi calon.
"Sebaliknya perwakilan harus menggunakan forum ini bagi memastikan orang Melayu terus terbela dan segala kelemahan kita hendaklah dianalisis serta mencari penyelesaian sesuai dan memberi pendapat yang baik," katanya.
Rahim berkata, seseorang yang hendak menjadi calon boleh berjumpa pemimpin tertentu di rumah atau menulis memorandum yang panjang mengapa layak menjadi calon tetapi jangan ganggu perhimpunan agung kerana ia penting menentukan masa depan orang Melayu.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula berkata, matlamat Perhimpunan Agung Umno adalah bagi membawa isu penting untuk dibahaskan sebelum tindakan selanjutnya diambil oleh pucuk pimpinan.
"Matlamat perhimpunan bukan untuk menonjol diri tapi membawa isu negara. Ini yang perlu difahami. Kalau ia dijadikan fokus mempamerkan diri, dikhuatiri matlamat perhimpunan sebenarnya tidak akan kesampaian," katanya.
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata perhimpunan itu pentas membincangkan agenda Melayu dan negara dan bukannya untuk agenda peribadi.
Katanya, semua pihak perlu faham perkara itu dan tidak mencuba mengalihkan pandangan untuk menonjolkan diri.
No comments:
Post a Comment