Monday, November 05, 2007

Lepasan luar negara perlu perkukuh parti

KUALA LUMPUR: Graduan yang menamatkan pengajian di luar negara diminta menjadi ahli Umno selepas menamatkan pengajian bagi menjamin kesinambungan pimpinan parti pada masa depan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata mereka berupaya diketengahkan sebagai pemimpin kerana mempunyai kekuatan mental dan fizikal ketika mengharungi cabaran mengikuti pengajian di luar negara.

"Cuma, mereka perlu menambah asas yang ada bagi mengukuhkan kejayaan dengan menambah ilmu pengetahuan dan tahu perkembangan semasa, termasuk ekonomi," katanya.

Beliau yang juga Menteri Luar berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk 'Memahami Isu-isu Semasa � Perkembangan Siasah Dalam Negara: Keadaan Global dan Peranan Komunikasi Membentuk Bangsa Yang Inovatif' pada Kursus Kepemimpinan Kelab Umno Luar Negara 2007, di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, semalam.

Katanya, pelajar perlu peka terhadap pelbagai perubahan termasuk teknologi bagi mencetuskan kemajuan negara.

Beliau berkata, walaupun selepas Malaysia mencapai status negara maju pada 2020, pimpinan negara yang bakal diwarisi pelapis termasuk bekas pelajar harus mengekalkan kestabilan politik dan ekonomi.

Syed Hamid berkata, generasi muda juga mesti memahami sejarah Umno bagi membolehkan mereka mempertahankan perjuangannya.

Sementara itu, Datuk Seri Azalina Othman, berkata jumlah profesional muda menjadi ahli Umno masih kecil berbanding pelajar dan belia di negara ini.

"Ketika saya bersama Puteri, kita cuba menarik profesional muda menjadi ahli Umno tapi sekarang berapa ramai golongan itu jadi ahli parti," katanya.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, cerdik pandai Melayu di luar negara masih ramai yang belum menjadi ahli memandangkan pendedahan awal penting bagi menarik mereka supaya menyayangi Umno.

Katanya, bukan mudah menjadi bangsa yang kuat sekiranya ahli tidak menaruh kepercayaan kepada pucuk pimpinan dan menyokong mereka.

No comments: