Monday, November 05, 2007

Perwakilan perlu ikhlas, telus bercakap tentang UMNO

Oleh ZULKIFLI JALIL

“BILA pilihan raya (umum)?”. “Tak tahu, mungkin bulan 12 ini atau paling tidak pun sebelum bulan tiga tahun depan.”

Itulah butir percakapan yang sering diluahkan orang daripada peniaga gerai tepi jalan, kakitangan kerajaan dan swasta, orang politik sehinggalah kepada soalan- soalan para wartawan pada sidang akhbar yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Itulah isu popular yang dinanti-nantikan rakyat Malaysia pada masa ini.

Dan petang ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, isu pilihan raya umum dikatakan menjadi inti pati yang disentuh oleh Abdullah selaku Presiden UMNO.

Majlis Amanat Presiden hari ini menjadi pembuka tirai Perhimpunan Agung UMNO 2007 yang akan berlangsung sehingga Jumaat ini dan dihadiri seramai 2,522 perwakilan dari 190 bahagian UMNO di seluruh negara.

“Pada perhimpunan itu, perwakilan perlu bercakap secara ikhlas dan tulus bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan parti.

“Gambaran tentang kejayaan sebenar UMNO perlu dikupas dengan betul dan tepat,’’ kata seorang pemimpin kanan UMNO kepada Utusan Malaysia semalam.

Isu-isu yang dibangkitkan perwakilan semasa perbahasan usul pada perhimpunan Puteri, Wanita dan Pemuda biarlah mencerminkan realiti dan merupakan isu-isu yang diperkatakan oleh rakyat pelbagai peringkat.

Antara isu yang harus diberi perhatian ialah kos sara hidup yang meningkat akibat kenaikan harga minyak yang dipercayai memberi kesan kepada sosioekonomi rakyat.

Ahli-ahli UMNO perlu diterangkan bahawa bukan semua barang naik harga dan dalam kes kenaikan harga getah dan kelapa sawit yang pengeluarannya disertai majoriti penduduk luar bandar, ia menguntungkan begitu ramai rakyat.

Bagi kakitangan kerajaan, kenaikan gaji sehingga 35 peratus yang berkuat kuasa Julai lalu perlu dinilai secara objektif sama ada ia betul-betul membantu melegakan rakyat.

Jika UMNO dan kerajaan mengetepikan isu-isu itu yang begitu dekat dengan hati rakyat, dikhuatiri ia akan dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu.

Sejak merdeka, UMNO yang menunjangi Barisan Nasional (BN) telah berjaya melepasi pelbagai rintangan turun naik ekonomi. Tentulah isu kenaikan kos sara hidup ini kelak juga akan difahami rakyat.

‘‘Bukan soal kita tidak mahu melayan dakyah dan fitnah yang dilemparkan parti pembangkang tapi jawapan dan isu yang perwakilan UMNO perjuangkan dan bangkitkan semasa perhimpunan biarlah nampak bijak dan rasional.

‘‘Begitu juga dengan komitmen kerajaan ketika ini dalam menggerakkan kawasan pembangunan koridor ekonomi di utara, selatan dan Pantai Timur. Keuntungannya kepada rakyat perlu diperjelaskan.

“Jangan benarkan berkembang andaian ‘apa orang kampung akan dapat’. Jangan buka ruang untuk pembangkang mengkritik kerajaan,’’ kata seorang perwakilan dari Johor ketika dihubungi.

Di atas kertas, UMNO dan BN nampaknya sukar digugat jika pilihan raya umum diadakan sekarang.

Dalam pilihan raya umum ke-11 pada tahun 2004, BN memperoleh undi popular sebanyak 63.9 peratus.

Komponen parti berbilang kaum itu memenangi 198 kerusi Parlimen berbanding 20 kerusi gabungan parti pembangkang dan satu kerusi yang dimenangi oleh calon bebas. Ia merupakan majoriti terbesar BN di Dewan Rakyat sejak pilihan raya umum 1978.

Dalam pilihan raya umum itu, UMNO memenangi 109 kerusi dengan kenaikan sebanyak 32 kerusi manakala pesaing tradisinya, Pas, hanya mampu mengekalkan tujuh daripada 27 kerusi yang dimenanginya pada tahun 1999.

UMNO merupakan tunjang politik orang Melayu dan Islam di Malaysia. Setakat 30 September lalu, ahli UMNO mencecah 3,322,236 iaitu satu jumlah besar dengan pertambahan 100,000 ahli meliputi ahli biasa sebanyak 1,112,080, Wanita (1,194,142), Pemuda (661,976) manakala Puteri seramai 407, 870 anggota.

Berdasarkan kedudukan UMNO sebagai sebuah gerakan massa, antara cabaran yang perlu dipikul oleh perwakilan UMNO selepas selesai bersidang nanti ialah memastikan ahli akar umbi UMNO mendaftar sebagai pemilih.

Peranan itu perlu dimainkan oleh bahagian dan cawangan UMNO dengan menyasarkan golongan muda berusia 18 tahun ke atas.

Menurut profil keahlian UMNO, golongan yang menyertai UMNO semasa di kolej dan sejurus selepas tamat persekolahan semakin meningkat. Golongan profesional juga kian ramai menyertai parti itu.

Banyak pemimpin UMNO mahu parti itu dikuatkan pada perhimpunan minggu ini dengan menjuarai isu-isu rakyat.

UMNO yang muncul selepas perhimpunan agung nanti sepatutnya UMNO yang lebih bersemangat untuk membela rakyat dan ahli-ahlinya bertekad lebih gigih untuk menunjukkan keupayaan mereka melakukan perubahan demi kebajikan orang Melayu, Islam dan negara.

Dalam konteks ini, sokongan orang Melayu kepada UMNO penting diberi perhatian kerana mereka mendapat manfaat daripada dasar- dasar kerajaan yang diterajui oleh UMNO.

Ini dapat dilihat dari segi kualiti pendidikan yang diterima oleh anak-anak keluarga Melayu. Rata-rata keluarga Melayu mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak menuntut di institusi pengajian tinggi.

Perhimpunan Agung UMNO kali ini mempunyai signifikan tersendiri kerana ia diadakan sempena 50 tahun sambutan kemerdekaan negara.

Inilah masanya untuk ahli-ahli parti itu mengukuhkan semangat kerjasama, setia kawan dan komitmen pada semua peringkat kepimpinan parti.

Presiden UMNO tentu akan menggunakan Perhimpunan Agung UMNO 2007 untuk memperjelaskan isu-isu yang masih belum selesai selain menggembleng tenaga dalam UMNO bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Semangat ahli-ahli UMNO pasti akan bertambah kukuh selepas perhimpunan itu berakhir Jumaat ini dan sudah pasti semangat itu akan menjadi penentu kecemerlangan parti tersebut dalam pilihan raya umum ke-12 nanti.

Sama ada pilihan raya umum pada bulan Disember, bulan Januari, Februari atau bulan Mac, sebahagian daripada kekuatan UMNO dalam proses menentukan ketuanan politik itu akan dicorakkan oleh Perhimpunan Agung UMNO minggu ini.

No comments: