Monday, November 05, 2007

Ikrar jayakan gesaan PM

Oleh NIZAM YATIM

KUALA LUMPUR 4 Nov. – Wakil-wakil Kelab UMNO luar negara berikrar akan menjayakan gesaan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya orang Melayu berdikari dan tidak lagi dihantui kebimbangan tidak dibantu oleh kerajaan.

Wakil Kelab UMNO New York, Amerika Syarikat, Shahir Hafreez, 20, berkata, ingatan Perdana Menteri itu adalah kena pada masanya memandangkan negara sudah mencapai kemerdekaan selama 50 tahun.

‘‘Sudah tiba masanya bantuan kepada orang Melayu hanya diberikan secara berpilih kepada mereka yang benar-benar ingin berniaga dan bukan semata-mata kerana mereka kaum Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri Kursus Kepimpinan Kelab UMNO Luar Negara yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Shahir mengulas kenyataan Perdana Menteri dalam wawancara khas dengan Mingguan Malaysia supaya orang Melayu menjadi lebih yakin dan tidak membiarkan pemikiran mereka didominasi kebimbangan kerajaan tidak lagi membantu mereka.

Menurut Abdullah, orang Melayu tidak boleh terus mengharap kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang berakhir pada 1991 atau bantuan kerajaan semata-mata kerana mereka kena berusaha menjadi lebih berdaya saing.

Katanya: “Mengenai kebimbangan orang Melayu, kebimbangan itu telah terlalu lama mendominasi pemikiran Melayu. Sudah terlalu lama... 50 tahun merdeka pun masih takut lagi.”

Wakil Kelab UMNO Australia Barat, Wan Nadiah Wan Abdul Ghaffar, 21, pula meminta orang Melayu mencontohi kaum Cina yang berjaya membina empayar perniagaan tanpa bantuan kerajaan.

Katanya, peniaga Cina berjaya kerana mereka sanggup berusaha bersungguh-sungguh.

Beliau kesal kerana sifat itu masih lagi kurang dihayati oleh orang Melayu.

‘‘Sebagai orang Melayu, saya amat malu melihat kaum saya masih lagi mengamalkan sikap suka meminta walaupun negara sudah lama merdeka,” ujarnya.

Dalam pada itu, wakil Kelab UMNO Bandung, Indonesia, Mohd. Feendi Mohd. Fauzi Yap, 23, berkata, ulang tahun kemerdekaan yang ke-50 harus dijadikan sebagai titik peralihan untuk orang Melayu mengubah sikap mereka.

‘‘Kita akan mulakan di peringkat pelajar luar negara dengan mencari pengalaman bekerja di sana sebelum pulang ke tanah air untuk berdikari. Kita perlu membuka perniagaan sendiri setelah cukup wang dan pengalaman,” katanya.

Wakil Kelab UMNO Tokyo, Jepun, Ezze Normezan, 27, berkata, budaya kerja kuat masyarakat Jepun harus dicontohi oleh orang Melayu supaya mereka terus berjaya.

‘‘Mereka tidak pernah mengeluh jika tidak dibantu kerajaan, sebaliknya akan berusaha lebih kreatif bagi menghasilkan produk baru yang dapat dipasarkan sehingga ke luar negara,” jelasnya.

Sementara itu, wakil Kelab UMNO Padang, Indonesia, Norhaizura Abdul Rani, 25, menyifatkan bantuan hanya boleh diberikan kepada mereka yang memerlukan dan bukannya semua orang.

‘‘Orang Melayu harus berasa malu untuk meminta bantuan kerajaan kerana ajaran Islam sendiri mengajar umatnya supaya berusaha dan tidak hanya mengharapkan simpati,” katanya.

No comments: