Monday, November 05, 2007

PBT jangan usir peniaga bumiputera bandar

KUALA LUMPUR 4 Nov. – Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta berhenti mengusir peniaga bumiputera di lokasi strategik di bandar besar dengan alasan mereka berniaga secara haram.

Ketua Penerangan UMNO, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, langkah itu menjejaskan matlamat kerajaan untuk melahirkan masyarakat bumiputera yang dapat bersaing dengan kaum lain.

Beliau berkata, peniaga bumiputera di bandar termasuk yang berniaga di pasar malam wajar diberi peluang untuk mencari rezeki kerana mereka adalah usahawan tulen yang dapat bertahan walaupun tanpa bantuan kerajaan.

‘‘Kita harus mencontohi PBT di Taiwan yang mengambil sikap tutup sebelah mata terhadap aktiviti perniagaan di kawasan yang tidak dibenarkan berniaga di bandar kerana mereka tahu peniaga kecil tidak berkemampuan menyewa premis di lokasi strategik.

Muhammad berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Melahirkan Korporat dan Usahawan Melayu Global pada Kursus Kepimpinan Kelab UMNO Luar Negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula ketika membentangkan kertas kerja mengenai penglibatan Melayu dalam sektor korporat berkata, kementeriannya telah memperkenalkan beberapa pendekatan baru bagi memastikan langkah melahirkan usahawan bumiputera dapat dilakukan dengan jaya.

Beliau berkata, pendekatan itu membabitkan penjenamaan barangan keluaran bumiputera menggunakan hanya satu nama yang lebih menarik seperti Forest Secret bagi industri herba dan Malaysian Kitchen bagi rangkaian restoran.

Mohamed Khaled berkata, pihaknya juga akan membuka lebih banyak pusat perniagaan di kampus universiti dan kawasan perumahan baru bagi menyediakan ruang kepada bumiputera berniaga.

No comments: