MELAKA: Usaha memperkukuhkan pendidikan, ekonomi dan agama adalah antara isu utama yang akan dibahaskan perwakilan Umno Melaka pada Perhimpunan Agung Umno 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata Exco Pemuda Umno yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron akan berucap mewakili Melaka membahaskan ucapan Presiden, manakala Ketua Penerangan Umno Bahagian Bukit Katil, Datuk Hasnoor Sidang Hussein berucap usul ekonomi.
"Timbalan Speaker, Datuk Idderis Kassim pula berucap usul pendidikan dan agama," katanya selepas merasmikan Program Gotong-Royong Perdana di Taman Botanikal, Ayer Keroh, di sini semalam.
Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zaini Md Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Hang Tuah Jaya, Murad Husin.
Gotong-royong disertai kira-kira 200 peserta itu dibantu 30 anggota Jabatan Pengindahan Bandar (JPB) MBMB serta kakitangan Southern Waste Management (SWM) Sdn Bhd.
Sementara itu, ketika diminta mengulas kejayaan Melaka mencatatkan pungutan cukai paling tinggi di negara berjumlah RM1.6 bilion, Ketua Menteri Melaka itu berkata, kutipan hasil negeri yang dibayar kepada Kerajaan Persekutuan bagi 2006 adalah RM1.022 bilion melalui Kastam Melaka.
Selain itu, antara penyumbang terbesar kerajaan negeri adalah Oriental Honda sebanyak RM849.4 juta, Olympic Cable RM12.1 juta, Petronas Penapisan RM6.9 juta, Utama Cable RM5.4juta, Dibochi Plastic RM2.7 juta, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) RM517 juta, Imigresen RM76.3 juta dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), RM53 juta.
"Sebelum ini kerajaan negeri berharap Kerajaan Persekutuan meluluskan lebih banyak peruntukan kepada Melaka melalui kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) ketika ini.
"Permohonan itu selaras sumbangan negeri kepada kerajaan melalui pelbagai cukai berjumlah RM1.6 bilion setahun atau RM7.5 bilion setiap lima tahun," katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment