Mon | Nov 05, 07 | 1:27:08 pm MYT
KUALA LUMPUR, 5 Nov (Hrkh) - Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud berkata, biarpun ada calon yang akan mencabarnya dalam pemilihan puncuk pimpinan MTUC pada 18 Disember ini beliau tetap akan mempertahankan jawatan tersebut.
Katanya, pertandingan sesuatu jawatan adalah sihat dan siapa pun berhak untuk bertanding.
"Walaupun masih terlalu awal tetapi saya lihat jika ada calon mahu menawarkan diri sebagai presiden saya bersikap terbuka.
"Tetapi dengan syarat calon itu mesti ada visi dan misinya untuk apa beliau bertanding dan saya juga tidak mengatakan bahawa jawatan itu tidak boleh dipertanding," katanya semasa ditemui di piket pekerja-pekerja bank, di Menara Maybank dekat sini, 3 November lalu.
Pada 30 Oktober lalu, sebuah akhbar tempatan dipetik sebagai berkata bahawa Timbalan Presiden MTUC, Shafie BP Mammal akan menentang Syed Shahir bersama dua individu lain.
Lapor akhbar itu lagi, selain mereka, sebanyak 16 jawatan utama termasuk Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung akan turut menyaksikan perebutan sengit.
Shahir berkata, masing-masing berhak bertanding tetapi perlu jelas apa tujuan mereka masuk bertanding.
Katanya, beliau bersikap terbuka kerana beliau sendiri sebelum ini telah banyak kali bertanding.
Beliau menganggap proses tersebut adalah satu proses demokrasi.
"Saya kena ambil sikap terbuka dan dalam masa yang sama saya akan pertahankan jawatan saya memandangkan banyak lagi agenda yang belum selesai," katanya.
Shahir memenangi kerusi tersebut pada pemilihan MTUC 2004 lalu dengan menewas Datuk Zainal Rampak yang mengetuai MTUC sejak 1986. - mns
No comments:
Post a Comment