Mon | Nov 05, 07 | 12:17:15 pm MYT
Sedih dan pilunya melihat ahli dan para pemimpin Umno. Jika mereka benar-benar bijak, berfikiran merdeka dan berwibawa, pastinya mereka akan turut serta berhimpun dalam Perhimpunan 100,000 rakyat di Dataran Merdeka, 10 November 2007 ini.
Ini disebabkan, antara kandungan memorandum yang mahu diserahkan ke Istana Negara adalah kebebasan media kepada semua pihak. Keutamaan adalah pemimpin muda Umno yang kononnya mahu menjadi bakal pemimpin wibawa akan datang.
Kita tidak hairan dengan kehadiran pemimpin, ahli dan penyokong pembangkang. Mereka cukup arif dengan kebebasan media arus perdana di negara ini. Mereka tidak pernah yakin media ini bebas dalam memberikan laporan terhadap mereka. Mereka sudah merasainya sejak 50 tahun negara merdeka. Tetapi mereka tetapi tidak serik dan terus berjuang agar media ini boleh bersikap bebas walaupun sedikit. Itulah harapan mereka yang pastinya tinggal harapan terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.
Tetapi ini telah berlaku di zaman era pemerintah Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Akhbar arus perdana sudah tidak dikuasai oleh ahli dan pemimpin Umno terutamanya Majlis Tertinggi Umno. Akhbar kini sudah dikuasai oleh Abdullah & Co.. Yang lebih teruk termasuk akhbar berbahasa Inggeris yang mana Umno tidak mempunyai sahamnya.
Lihatlah dua tiga hari sebelum menjelang Perhimpunan Agung 2007 yang telah berlangsung pada 5-9 November ini. Kebanyakan akhbar menyiarkan cerita Khairy, Jeanne Abdullah, Scomi dan kemuncaknya wawancara Abdullah Ahmad Badawi di dalam akhbar Mingguan Malaysia (4 November 2007).
The Star menyiarkan berita rencana mengenai menantu Presiden Umno, Khairy mahu menggunakan `protection’ untuk kepentingan politik.
Utusan Malaysia dan Berita Harian menyiarkan rencana isteri Presiden Umno, Datin Seri Jeanne Abdullah bersama dua orang anak perempuannya. Di ruangan ekonomi pula disiarkan berita/rencana mengenai perniagaan anak Presiden Umno, Scomi yang mendapat tender beratus juta di dalam Petronas dan LRT. Dan sehari sebelum Perhimpunan Agung Umno, wawancara Abdullah Ahmad Badawi bersama Utusan Malaysia mengenai 'Ayam dan Penyu' disiarkan.
Dalam wawancara ini Abdullah Ahmad Badawi dipetik sebagai berkata: Melayu memang suka buat pengumuman. Mereka macam ayam bertelur sebiji, satu kampung tahu. Penyu diam sahaja ketika bertelur. Tahu-tahu saja sudah banyak anak."
Ternyata Abdullah Ahmad Badawi sudah tersilap cakap. Dia mungkin kurang atau `terlebih' memahami antara ayam dan penyu yang dikaitkan dengan realiti yang ada. Anak, menantu, isteri dan beliau sendiri yang banyak di dalam berita sebelum menjelang Perhimpunan Agung Umno 2007 di dalam akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris sehingga boleh dianggap berita dan rencana untuk Abdullah & Co.
Ia ibarat ayam yang memang suka buat pengumuman atau bersikap seperti penyu sehingga banyak Scomi memperolehi projek yang secara senyap. Mungkin juga Khairy ada membawa banyak projek tetapi dia juga seperti penyu yang tidak menghebahkan kepada umum.
Bahan berita mengenai visi dan isu di dalam Perhimpunan Agung Umno sememangnya adalah suatu kewajipan. Ia sememangnya tidak menghairankan kerana saban tahun sebelum menjelang Perhimpunan Agung Umno, media masa kepunyaan mereka perlu menyiarkan berita pemimpin dan parti itu. Apa sahaja isu yang bakal dan akan dibincangkan adalah bergantung kepada ucapan dasar Presiden parti.
Tetapi yang lebih pelik, cerita Abdullah & Co. wajib juga diadakan bersama dengan cerita pemimpin Umno lainnya. Itulah realiti media yang dikuasai oleh Abdullah & Co. ini.
Kita juga tidak sukar menjangka bahawa publisiti akan diberikan lebih meluas kepada Khairy, Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno ini yang juga menantu Abdullah. Segala ucapannya akan mendapat tempat utama memandangkan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dato Seri Hishamudin Tun Hussien dijangka akan melepaskan jawatannya.
Sebagai bakal Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang direstui oleh presiden parti, Khairy akan membuktikan dia sebenarnya cukup hebat dan wibawa. Jika tidak hebat dan wibawa bagaimana dia boleh memperisterikan anak Perdana Menteri ini.
Akhirnya, sekali lagi ahli dan pemimpin Umno akur dengan kebebasan media yang sepatutnya dikuasai oleh Umno dan bukannya Abdullah & Co.. Mereka tidak mahu 'periuk nasi terganggu' walau apa juga cerita mengenai Abdullah & Co. ini.
Seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad, majoriti ahli dan pemimpin Umno sekarang akan terus tebal dengan sikap "Titah Tuanku Patik Junjung". Ini termasuk kepada ketua media akhbar harian dan elektronik yang pastinya lebih 'takut' berbanding dengan ahli dan pemimpin Umno sendiri.
Selamat bersidang kepada perwakilan Umno dan bersiap sedialah mendengar pidato paling hebat dan wibawa dari bakal pemimpin Umno yang kini di dalam proses pembikinan yang amat direstui oleh Presiden mereka. Selamat bersidang juga kepada Abdullah, Jeanne, Kamaludin dan tentunya Khairy Jamaluddin. - tajdid
No comments:
Post a Comment