Monday, November 05, 2007

Bumiputera harus berani pertahan hak – Norraesah

KUALA LUMPUR 4 Nov. – Golongan bumiputera di negara ini perlu berani mempertahankan hak mereka bagi menghadapi pihak tertentu yang mahu semua keistimewaan ditarik balik dengan alasan matlamat pemilikan ekuiti 30 peratus telah tercapai.

Ahli Jawatankuasa Khas Hal Ehwal Pelajar Luar Negara UMNO, Senator Datuk Dr. Norraesah Mohamad (gambar) berkata, dakwaan berkenaan adalah tidak benar sama sekali kerana pemilikan ekuiti bumiputera sekarang hanya sebanyak 18.9 peratus.

“Saya kesal kerana terdapat di kalangan bumiputera termasuk golongan terpelajar yang hanya mengambil sikap berdiam diri dengan angka salah yang diberikan pihak berkenaan.

“Tindakan pihak terbabit yang menganggap pegangan ekuiti oleh kerajaan sebagai hak bumiputera adalah salah kerana kerajaan adalah hak semua kaum dan tidak boleh dianggap mewakili golongan pribumi sahaja,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Motivasi Bangsa: Tahap Ekonomi Melayu dan Cabaran Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada Kursus Kepimpinan Kelab UMNO Luar Negara di sini, hari ini.

Meningkat

Dalam pada itu, katanya, wujud perkembangan menggalakkan apabila golongan profesional bumiputera di negara ini telah meningkat kepada 38.8 peratus pada tahun 2005 berbanding hanya 28.9 peratus pada 2002.

“Walaupun wujud peningkatan golongan profesional, kita masih lagi ketinggalan dalam bidang perniagaan dan pertanian yang seharusnya diberi tumpuan utama kerana ia akan membantu meningkatkan pendapatan kaum bumiputera dengan lebih pantas.

“Jumlah purata pendapatan isi rumah golongan bumiputera yang meliputi 65 peratus daripada 26 juta rakyat negara ini ialah RM3,011 dan ia hanya akan dapat ditingkatkan dengan cepat jika mereka tidak terlalu bergantung kepada kerja makan gaji yang melibatkan kenaikan kecil setiap tahun,” katanya.

Menurut Norraesah, pemilikan hartanah komersial oleh kaum bumiputera juga terlalu kecil iaitu hanya 10 peratus.

“Kelemahan lain yang ketara ialah golongan bumiputera sangat sedikit terlibat dalam sektor yang menekankan kepada produktiviti dan nilai tambah yang tinggi,” ujarnya.

No comments: