Monday, November 05, 2007

PPP tidak gentar usul MIC – Kayveas

KUALA LUMPUR 4 Nov. – Parti Progresif Penduduk (PPP) tidak gentar dengan usul MIC untuk menyingkirkan parti itu daripada pakatan Barisan Nasional (BN), kata Presiden PPP, Datuk M. Kayveas.

Beliau berkata, Majlis Tertinggi PPP telah membuat keputusan semalam untuk menghantar satu usul kepada Dewan Tertinggi BN supaya tindakan disiplin diambil terhadap Naib Presiden MIC, S. Sothinathan.

‘‘PPP ingin tahu apakah tindakan yang akan diambil oleh BN terhadap Sothinathan yang turun ke kawasan calon parti lain dan memberitahu penduduk agar jangan memberi sokongan kepada PPP yang juga parti komponen BN.

‘‘Mereka (MIC) boleh bercerita atau mengugut hendak membuang PPP daripada pakatan BN. Sebenarnya, sebelum MIC ambil tindakan terhadap PPP, mereka perlu buat satu kajian mengapa perselisihan faham berlaku antara PPP dan MIC,’’ katanya kepada pemberita di sini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan MIC bercadang membuat usul kepada Dewan Tertinggi BN untuk menyingkirkan PPP daripada pakatan parti komponen berbilang kaum itu.

Kayveas yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menegaskan, tindakan Sothinathan itu bertentangan dengan persahabatan, perlembagaan dan prinsip-prinsip BN.

Sepatutnya, kata beliau, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Velu memberikan nasihat kepada Sothinathan kerana pemimpin MIC itu telah menghina PPP.

‘‘Sehingga sekarang, mereka buat macam tak tahu. Isu ini sebenarnya perlu kita selesaikan dulu.

‘‘Selesaikan isu ini kerana daripada situlah bermulanya kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh PPP dan saya,’’ katanya.

Kayveas berkata, pihaknya bersetuju menamatkan perselisihan faham dengan MIC sekiranya diajak berbincang.

No comments: