PERSIAPAN AKHIR: Petugas membuat persiapan terakhir sebelum beg diagihkan kepada perwakilan. |
KUALA LUMPUR: Kepemimpinan Umno mesti berupaya memainkan peranan berkesan untuk mempertahankan maruah dan survival orang Melayu, kata Timbalan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Datuk Dr Ahmad Faiz Hamid.
Beliau berkata, sebagai parti yang menjadi tunjang dan mengetuai Barisan Nasional (BN), Umno seharusnya merangka perancangan untuk memastikan ia terus kukuh.
"Misalnya, pemimpin pelapis Umno perlu dikenal pasti pada peringkat awal sebelum mereka diserapkan dalam kerajaan, selain berperanan pada peringkat cawangan dan bahagian.
"Pelantikan pada peringkat nasional adalah langkah akhir yang perlu diambil jika pemimpin terbabit didapati mampu melaksanakan tugas dengan berkesan dan seiring matlamat perjuangan parti," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Agenda politik Melayu pada 2057 pada Seminar Agenda Melayu ke-3: Agenda Politik di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.
Ahmad Faiz berkata, pembentukan kumpulan pelapis perlu untuk meningkatkan kematangan ilmu politik dan hanya pihak yang layak menerajui Umno, sekali gus menjamin pengukuhan parti.
Katanya, berbeza dengan situasi sekarang apabila ada pemimpin parti yang dilantik dengan cara melobi bukan secara latihan dan mengenal pasti calon pemimpin dari peringkat awal.
"Pemimpin pelapis perlu didedahkan dengan maklumat berkaitan proses pembinaan negara bangsa dan memiliki pengetahuan mengenai sejarah perjuangan pemimpin parti sebelum negara mencapai kemerdekaan," katanya.
Sementara itu, bekas pensyarah Universiti Malaya, Datuk Dr Malik Munip berpendapat, kedudukan Umno sebagai parti induk negara wajar diterjemahkan dalam dalam bidang utama nasional seperti pendidikan dan ekonomi.
"Inilah inti pati kepada perjuangan yang hak kerana parti ini berjaya kerana ia tidak diasaskan atas landasan ideologi tertentu, sebaliknya atas asas perpaduan lebih 42 pertubuhan Melayu," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Dimanakah Melayu pada 2057.
No comments:
Post a Comment