Mon | Nov 05, 07 | 11:19:22 am MYT
KUALA LUMPUR, 5 Nov (Hrkh) - KeADILan memandang serius dan menganggap tindakan kerajaan negeri Selangor merobohkan secara paksa kuil Sri Maha Mariaman, sebuah surau, dan 200 buah rumah langsung sebagai tidak bertamadun dan tidak boleh diterima dalam masyarakat negara ini yang mengamalkan nilai-nilai demokrasi.
Bendahari Agung KeADILan, William J K Leong berkata dengan menghantar lebih 300 ahli polis dan penguatkuasa bersenapang automatik bersama penguatkuasa Majlis Perbandaran Shah Alam, amat jelas bahawa pihak berkuasa bersedia untuk menggunakan keganasan untuk merobohkan rumah ibadat termasuk penempatan awam di Kampung Rimba Jaya, Selangor.
Akibat daripada insiden tidak perikemanusiaan itu puluhan penduduk dan penganut tercedera manakala lebih kurang 15 orang ditahan oleh pihak polis.
Antara yang cedera adalah seorang pemuda berusia 16 tahun dan seorang wanita berusia 52 tahun.
"Nampaknya, kekerasan yang melampau digunakan, tapi nasib baik tiada orang ditembak, seperti yang berlaku di Batu Buruk," katanya dalam satu kenyataan media.
"Polis dan pihak penguatkuasa hanya dibenarkan mengguna kekerasan yang munasabah jika didapati perlu untuk melindungi keselamatan diri atau orang lain. Tindakan menghantar 300 orang polis bersenjata untuk merobohkan tempat beribadat langsung tidak masuk akal, " katanya lagi.
Lebih mengecewakan katanya adalah tidak masuk akal dan munasabah mengapa penganut tidak dibenarkan masa untuk mengumpulkan hak milik mereka sedangkan surau, kuil dan rumah yang telah telah didirikan lebih kurang 100 tahun dahulu.
"Kekerasan tidak terkawal oleh pihak berkuasa akan dipandang oleh rakyat sebagai tanda kerajaan yang tidak menghormati perbezaan pendapat dan berlagak mengatasi undang-undang," katanya
Malah katanya Kerajaan negeri Selangor mestilah menghormati hak-hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia seperti kebebasan beragama di bawah peruntukan Perkara 11, hak untuk memiliki harta di bawah Perkara 13 dan hak untuk hidup dibawah Perkara 5.
"KeADILan menyeru kerajaan Selangor menghentikan perobohan tempat-tempat beribadat dengan serta-merta. Sebaliknya, kerajaan mesti menjaga kepentingan rakyat Selangor dengan menyediakan tapak yang bersesuaian untuk membina tempat beribadat dan menganut agama mereka dengan aman, " katanya. - mks.
No comments:
Post a Comment