KUALA LUMPUR 4 Nov. – Orang Melayu mesti melihat ke depan dan yakin dengan kebolehan diri sendiri jika mahu bersaing dengan kaum lain yang sudah lebih maju.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, mereka juga hendaklah memperkukuhkan kebolehan diri sendiri walaupun dilindungi dengan hak-hak istimewa.
Menurutnya, meningkatkan modal insan dan menambah nilai keupayaan diri sendiri adalah antara perkara yang boleh diberikan tumpuan.
“Kita sekarang perlu lihat ke depan dan yakin atas kebolehan kita sendiri.
“Dalam mempertahankan hak, kita perlu memperkukuhkan kebolehan kerana ia akan menentukan masa depan kita,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas wawancara khas Mingguan Malaysia bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang disiarkan hari ini.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, orang bukan bumiputera diminta bersabar dan tidak mempersoalkan dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi membantu orang Melayu.
“Dasar itu dilaksanakan supaya kaum pribumi itu benar-benar dapat bersaing dengan kaum lain dalam arus utama pembangunan negara,” katanya.
Jelasnya, tempoh 50 tahun kemerdekaan sebenarnya tidak mencukupi untuk orang Melayu membangun kerana mereka terlalu lama terabai.
“Orang Melayu seolah-olah sudah lama berada dalam ‘peti sejuk’ sejak zaman penjajahan British dan tidak mendominasi bidang perniagaan, perkhidmatan, perbankan dan teknologi menyebabkan mereka sentiasa ketinggalan di kampung.
“Sedangkan di bandar besar, pihak Inggeris menyediakan infrastruktur untuk kaum lain menjadi maju,” ujarnya.
Muhammad berkata, pada masa yang sama, orang Melayu harus cepat belajar dan bersatu padu supaya dapat mengejar kemajuan dengan pantas.
Veteran UMNO, Tan Sri Sabaruddin Chik pula berkata, hak keistimewaan orang Melayu seharusnya tidak dibangkitkan lagi kerana ia telah dipersetujui semua pihak semasa negara mencapai kemerdekaan dahulu.
Justeru, katanya, orang Melayu tidak perlu bimbang atau takut kerana hak tersebut masih dipertahankan.
“Hak istimewa orang Melayu bukan perkara baru, tidak perlu dibangkitkan. Orang Melayu tidak perlu takut kerana hak itu masih ada,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment