Wednesday, August 19, 2009

Umno Selangor mohon injunksi ketepi bina kuil di Shah Alam

Umno Selangor mohon injunksi ketepi bina kuil di Shah Alam

SHAH ALAM: Umno Selangor akan mengemukakan permohonan mahkamah untuk mendapatkan perintah injunksi bagi mengetepikan keputusan kerajaan negeri membina kuil di kawasan majoriti Islam di Seksyen 23, di sini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Noh Omar, berkata tindakan itu wajar dan berasaskan alasan yang kukuh kerana bertentangan dengan konsep 1Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Artikel 11 menyatakan rakyat Malaysia bebas beragama tetapi perlu dilaksanakan secara harmoni tanpa membabitkan pencabulan serta menyentuh sensitiviti kaum dan agama lain.

"Kita percaya apabila sesuatu rumah ibadat hendak dibina, kerajaan negeri perlu mengambil kira sensitiviti kaum dan agama yang tinggal di sesuatu kawasan itu.

"Dalam soal pembinaan kuil di Seksyen 23 ini, penduduk Islam mewakili 70 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk yang mana sensitiviti mereka perlu diambil kira.

"Kita akan bantu penduduk dan membawa bantahan mereka ke mahkamah untuk mendapatkan perintah injunksi bagi mengenepikan keputusan kerajaan negeri untuk membina kuil di kawasan ini.

"Keputusan kerajaan negeri boleh menimbulkan suasana tidak harmoni serta tidak menepati dasar yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke tapak kuil itu, semalam.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, beliau akan merujuk kepada Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Najib Razak bagi mendapatkan pandangan serta merangka persediaan yang perlu sebelum memulakan tindakan sedemikian berdasarkan bantahan yang dibuat kira-kira 500 penduduk Islam di kawasan itu.

Sementara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pembinaan kuil di tapak itu akan tetap diteruskan walaupun mendapat bantahan penduduk Islam di situ.

"Kita akan teruskan kebenaran membina kuil di Seksyen 23 dan akan turun padang untuk menerangkan kepada penduduk mengenai isu ini," katanya.

Sementara itu, Noh berkata, Abdul Khalid sememangnya menggunakan undang-undang rimba apabila mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap kakitangan, pegawai kerajaan dan wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) di Selangor, hanya pada waktu pejabat.

Noh berkata, tindakan itu menunjukkan pemimpin PR menganggap mereka tidak boleh disentuh (above the law) selepas memerintah Selangor.

"Mana boleh Menteri Besar Selangor nak mengarahkan atau mengajar SPRM menjalankan tugas.

"Cuba Barisan Nasional (BN) yang melakukan perkara itu, dia (pemimpin PR) akan berkempen satu negara. Dia akan buat tunjuk perasaan. Dia akan tuduh kita nak mengawal (SPRM) untuk mengikut telunjuk BN," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Negeri Selangor ke-32 di sini, semalam.

No comments: