Wednesday, August 19, 2009

Penyokong UMNO tidak masuk syurga

Nik Aziz pertahan dakwaan Umno ketepikan Islam

KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan kenyataannya mendakwa dasar dibawa Umno tidak akan membawa penyokongnya ke syurga.

Beliau berkata, Umno mengamalkan dasar kebangsaan yang memisahkan agama dan politik dan tindakan itu sama seperti mengasingkan Islam dan iman.

Nik Abdul Aziz turut menafikan beliau menyebut Islam yang dibawa Umno sama seperti diamalkan di Palestin dan menganggap laporan itu sebagai tuduhan yang mahu melagakan beliau dengan Palestin.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya, ini nak melagakan saya dengan Palestin pula. Saya juga tak guna perkataan ahli Umno (seperti dilaporkan media), saya guna penyokong Umno," katanya pada sidang media bagi menjelaskan kenyataannya itu di sini, semalam.

Beliau juga berkata, Pas dan Umno sering tidak sependapat bukan disebabkan hal berkaitan pembangunan seperti dibangkitkan Umno, sebaliknya dasar dan fahaman yang berbeza.

"Masa Nabi Muhammad SAW dulu tak timbul hal pembangunan fizikal. Jika kita kaji, Nabi Muhammad apa benda pembangunan dibuat... hanya dua masjid, tak ada benda lain, tapi Baginda 'cuci otak' orang supaya mengamalkan hidup, akidah dan ekonomi cara Islam.

"Hal dasar ini menyebabkan Pas bertengkar dengan Umno, pembangunan sama-sama ada. Kelantan ada pembangunan, negeri lain pun ada, tetapi dasar Umno sekular, agama lain politik lain. Dasar kita agama dan politik digabungkan supaya hidup kita selari dengan kehendak Allah," katanya.

Mengenai kenyataan Tan Sri Harussani Zakaria yang menyebut tiada nas dalam al-Quran dan hadis mensyaratkan seseorang perlu menjadi ahli sesebuah parti politik sebelum dijanjikan syurga, beliau berkata, sepatutnya Mufti Perak itu dapatkan kenyataannya terlebih dulu dan tidak hanya berdasarkan kenyataan akhbar.

"Sepatutnya seorang mufti nak keluarkan kenyataan, tanya saya dulu, tak boleh ikut surat khabar, akhbar arus perdana ini akhbar Umno, (tetapi) dia nak buat juga dia punya pasal," katanya.



Penyokong UMNO tidak masuk syurga

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.fitri@utusan.com.my

KOTA BHARU 18 Ogos - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan kenyataannya bahawa penyokong UMNO tidak akan masuk syurga kerana parti itu memisahkan Islam dengan iman.

Bagaimanapun, beliau menafikan bahawa kenyataannya semalam hanya merujuk kepada ahli UMNO.

Sebaliknya, kata beliau, ia melibatkan sesiapa sahaja yang menyokong parti tersebut dan ia tidak kena-mengena dengan Palestin.

Beliau berkata, sesiapa sahaja yang mengasingkan iman daripada Islam seperti apa yang diamalkan parti yang menjadi tunjang kepada pemerintahan negara itu, tidak akan diterima Allah.

"Saya baca dua surat khabar arus perdana hari ini ada perkataan Palestin, saya nafi sekeras-kerasnya bahawa saya sebut perkataan itu, ini adalah untuk melagakan saya dengan Palestin.

"Perkara kedua adalah ahli UMNO, saya tak biasa guna ahli UMNO, saya guna penyokong UMNO, ahli lain penyokong lain (makna). Memang mana-mana orang Islam yang asingkan iman daripada Islam tidak akan masuk syurga.

"Jadi mana-mana gerakan orang Islam yang hanya mementingkan Islam sahaja tanpa melibatkan iman, mustahil akan dapat syurga, usaha UMNO nak sebut Islam tanpa iman mustahil diterima Allah," katanya pada sidang akhbar khas di pejabatnya di sini hari ini.

Sidang akhbar tersebut diadakan bagi menjelaskan laporan Bernama yang disiarkan media hari ini.

Semalam, beliau dilaporkan berkata, anggota UMNO tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin.

Dalam pada itu, beliau turut menempelak Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kerana memberikan reaksi terhadap kenyataan tersebut hanya berdasarkan laporan media sahaja.

"Sepatutnya seorang mufti sebelum keluar kenyataan tanya saya dulu untuk mendapatkan gambaran sebenar, surat khabar arus perdana surat khabar UMNO tetapi kalau dia nak buat kenyataan juga itu dia punya pasal," katanya.

No comments: