Rohaizat tak lakukan penyelewengan - Ahmad
BUKIT MERTAJAM 18 Ogos - Calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman tidak melakukan sebarang penyelewengan seperti didakwa sesetengah pihak sebaliknya beliau hanya bertanggungjawab ke atas tindakan yang dilakukan rakan kongsinya.
Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, tindakan tatatertib ke atas Rohaizat berdasarkan aduan Koperasi Pekebun Getah Negeri Pulau Pinang (KPGNPP) membabitkan pembelian satu hartanah yang dikendalikan firma Saif Ariff T Jayaraj & Rohaizat.
Dalam hal itu, menurutnya, semua urusan jual beli untuk pihak KPGNPP dikendalikan rakan kongsi Rohaizat, Yusri Isahak dan diterima secara eksklusif dan dideposit ke dalam akuan klien firma tersebut di Bank Islam Cawangan Butterworth.
Tambahnya, akaun berkenaan termasuk semua surat berhubung KPGNPP ditandatangani dan diuruskan Yusri yang menjadi rakan kongsi beliau dari tahun 1999 hingga 2003.
Rohaizat, menurut Ahmad Maslan, tidak mempunyai apa-apa penglibatan dan tidak tahu-menahu tentang perkara itu.
"Ingin dijelaskan di sini bahawa, tindakan yang diambil terhadap Rohaizat hanyalah sebagai rakan kongsi yang masih ada dalam firma itu mengikut Akta Perkongsian setelah Yusri tidak lagi menyertai syarikat guaman itu.
"KPGNPP juga dalam surat yang bertarikh 28 Mac 2009 kepada Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam telah menarik balik ke semua aduan terhadap Rohaizat berikutan semua tuntutan pihak berkenaan telah diselesaikan," katanya pada sidang akhbar di Pusat Gerakan BN di Taman Bukit Merah di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, dengan penjelasan itu juga menunjukkan bahawa Rohaizat tidak melakukan sebarang jenayah atau penyelewengan malah tiada laporan polis dibuat atau apa-apa siasatan jenayah dilakukan terhadap beliau.
Beliau menambah, tindakan yang dikenakan ke atas Rohaizat hanya berbentuk disiplin oleh satu badan yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga disiplin ahli-ahlinya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment