|
|
BUTTERWORTH 18 Ogos - Calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman adalah pilihan terbaik untuk menggalas tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada 25 Ogos ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Pas tidak sepatutnya mempertikaikan calon BN yang tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah sebaliknya beliau hanya berhadapan masalah dengan Majlis Peguam.
Katanya, BN akan menggunakan pendekatan sendiri untuk menjelaskan perkara tersebut kepada para pengundi di Permatang Pasir dan pihak-pihak lain tidak berhak mempertikaikan keputusan BN untuk memilih beliau sebagai calon.
''Itu pilihan dan hak kami, siapa mereka untuk mempersoalkan pemilihan Rohaizat. Kita juga boleh pertikai mengapa mereka pilih calon yang tidak pernah menang tetapi kita tidak akan berbuat demikian," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat bilik operasi RTM di Hotel Sunway di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Kecil Pas, Datuk Mahfuz Omar dalam satu ceramah semalam yang mempersoalkan mengapa BN masih meletakkan Rohaizat sedangkan mempunyai waktu untuk menukar calon lain.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, adalah juga menjadi hak Mahfuz untuk berbuat demikian dan BN juga tidak mampu menghentikan sesiapa pun daripada mengeluarkan kenyataan seperti itu.
''Saya hanya nak beritahu beliau, kita jumpa dalam gelanggang sahajalah.
''Dan saya juga merasakan mereka ini perlu cermin muka sendiri atau ukur baju di badan sendiri," ujarnya.
Ditanya mengenai kempen Pas yang berterusan menyerang peribadi kerana ia bercanggah dengan prinsip mereka, Ahmad Zahid menjawab, beliau tidak mahu menyentuh mana-mana prinsip parti lain selain BN.
Katanya, dalam Islam itu sendiri ada pelbagai pendekatan untuk menyatakan perbezaan pendapat dan salah satunya ia perlu dilakukan dengan cara yang berakhlak.
''Saya berharap sesiapa pun perlulah menghormati agama lebih daripada motif politik dan kembalilah kepada jalan Islam sekali gus tidak mengetepikan Islam yang sebenarnya," ujarnya.
No comments:
Post a Comment