Wednesday, August 19, 2009

Beng Hock masih hidup ketika terhempas - Dr. Prashant

Inkues Teoh Beng Hock: Tiada bukti pertahan diri

Oleh Norhashimah Mohd Radzali
bhnews@bharian.com.my

DR PRASHANT memberi keterangan dalam prosiding inkues Teoh Beng Hock di Mahkamah Koroner, Shah Alam, semalam.

Kecederaan di dubur, tengkorak impak jatuh dari tempat tinggi


SHAH ALAM: Hasil bedah siasat terhadap mayat Teoh Beng Hock, mendapati tiada bukti menunjukkan kecederaan dialaminya berpunca daripada diserang, pergelutan atau mempertahankan diri sebelum dipercayai jatuh dari tingkap pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Tingkat 14 Plaza Masalam pada 16 Julai lalu.

Pakar patologi forensik, Dr Prashant Naresh Samberkar, 42, memberitahu Mahkamah Koroner di sini semalam, kecederaan di kawasan dubur dan tengkorak si mati bukanlah disebabkan kemungkinan Teoh diserang tetapi sebaliknya ia konsisten dengan cedera akibat impak jatuh dari tempat tinggi.

"Dalam kes ini, kecederaan pada dubur tidak mungkin akibat serangan kerana kecederaan kepada bukaan pada bahagian anatomikal itu akan mengakibatkan banyak kesan koyak sekitar kulit dan ia amat menyakitkan.

"Tidak mungkin seseorang yang menanggung kesakitan seperti itu, berjalan ke tingkap dan kemudian jatuh," katanya yang berpengalaman 10 tahun dan pernah menjalankan lebih 3,000 bedah siasat.

Saksi ke-15 itu yang berkhidmat dengan Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya, berkata kecederaan seperti itu boleh menyebabkan pendarahan yang banyak, tetapi ia tidak berlaku ketika mayat Teoh ditemui.

Mengenai kecederaan pada tengkorak, Dr Prashant berkata, ia berlaku akibat impak ke atas punggung, menyebabkan bergerak di sepanjang tulang belakang sebelum berakhir dengan retak di tengkorak.

Katanya, tiada kecederaan ketara disebabkan pergelutan atau mempertahankan diri pada mana-mana bahagian tubuh Teoh.

Disoal peguam Tan Hock Chuan yang mewakili Kerajaan Malaysia, Dr Prashant berkata, punca kematian si mati disebabkan mengalami kecederaan berganda akibat jatuh daripada tempat yang tinggi.

Dr Prashant berkata, Teoh juga masih hidup ketika jatuh mendarat di atas lantai koridor tingkat lima Plaza Masalam di sini dan tidak mungkin dia sudah mati sebelum itu serta mayatnya dicampakkan kemudian.

Menjawab soalan peguam pemerhati keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, Dr Prashant bersetuju Teoh mungkin dalam ketakutan dan berkeadaan mencangkung atau duduk di atas birai tingkap pejabat SPRM itu sebelum terjatuh.

Katanya, beliau bersetuju kesan kotor pada tingkap dan kesan calar menegak, dipercayai sebagai cap jari, mungkin menunjukkan Teoh dipegang seseorang dari belakang dan melawan sebelum dia jatuh.

Sementara itu, Pemangku Penguasa Kanan SPRM Mohd Anuar Ismail, 32, berkata beliau mengambil rakaman percakapan daripada Teoh pada 16 Julai lalu, berhubung siasatan dijalankan terhadap aduan salah guna peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Katanya, beliau yang juga pegawai penyiasat bagi kes itu, berkata keterangan Teoh dirakamkan pegawai SPRM, Mohd Nadzri Ibrahim antara jam 1.30 dan 3.30 pagi dan beliau mengakui ada memasuki bilik rakaman itu dalam tempoh dua atau tiga minit.

Saksi ke-16 itu berkata, beliau menyoal Mohd Nadzri dan Teoh jika ada masalah timbul ketika rakaman percakapan, Mohd Nadzri memaklumkan tiada sebarang masalah manakala Teoh hanya berdiam diri.

Mohd Anuar berkata, sepanjang berada di pejabat SPRM, Teoh langsung tidak digari dan rakaman percakapan itu juga dibuat dalam keadaan pintu bilik terbuka.

Katanya, selepas itu beliau pergi ke tandas pada jam 3.30 pagi dan tidur di bilik solat yang berhampiran dengan tandas sehingga jam 5 pagi.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas bersambung hari ini.








Beng Hock masih hidup ketika terhempas - Dr. Prashant

SHAH ALAM 18 Ogos - Pensyarah Forensik Patologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr. Prashant Naresh Samberkar (gambar) berpendapat, Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock masih hidup ketika tubuhnya terhempas di tingkat lima Plaza Masalam pada 16 Julai lalu.

Prashant, 42, yang bertugas di Jabatan Patologi Universiti Malaya (UM) berkata, berdasarkan bedah siasat, beliau turut menganggarkan Beng Hock mati dalam tempoh antara lapan dan 12 jam yang dikira dari saat beliau pergi ke tempat kejadian pada 7.15 malam, 16 Julai lalu.

''Sehubungan itu saya menganggarkan Beng Hock mati antara pukul 7.15 pagi hingga 11.15 pagi, 16 Julai lalu,'' kata warganegara India tersebut ketika disoal oleh peguam Tan Hock Chuan yang mewakili kerajaan Malaysia dalam inkues siasatan kematian Beng Hock.

Anggaran tersebut dibuat, jelas saksi inkues ke-15 itu, berdasarkan kesan lebam dan kesan rigor mortis (kaku mayat) yang jelas kelihatan pada mayat Beng Hock.

Bedah siasat itu dijalankan oleh Prashant bersama Pakar Perunding Kanan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Dr. Khairul Azman Ibrahim, 51.

Beliau sebenarnya diarahkan oleh pihak polis supaya membantu siasatan berhubung kematian Beng Hock dan bukannya diminta oleh keluarga mendiang.

Beng Hock, 30, yang merupakan Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam pada 16 Julai lalu.

Kejadian berlaku selepas Beng Hock dipanggil sebagai saksi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan wang kerajaan negeri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14 bangunan tersebut.

Prosiding inkues yang masuk hari ke-11 hari ini didengar di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas di Mahkamah Koroner di sini.

Berbalik semula kepada pendapat yang mengatakan Beng Hock masih hidup ketika terhempas, Prashant secara panjang lebar menjelaskan, kecederaan lelaki itu adalah konsisten akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Ini kerana, jelas beliau, kecederaan melibatkan tisu lembut dan lebam hanya boleh berlaku sekiranya Beng Hock masih hidup ketika tubuhnya terhempas.

Di samping itu, sebanyak 700 mililiter darah termasuk darah beku ditemui di bahagian dada, kecederaan pada tengkorak terutamanya pengumpulan kandungan darah dan hematoma (pengumpulan darah dalam tisu) di sekeliling tengkorak adalah konsisten dan hanya dialami sekiranya mendiang masih hidup sebelum terhempas, ujar Prashant.

Saksi memberitahu, beliau juga tidak menemui sebarang kesan pergelutan, kesan tolakan mahupun luka akibat mempertahankan diri pada tubuh Beng Hock.

Menjawab soalan mengenai kecederaan dan pelbagai posisi koyakan pada rongga dubur Beng Hock, katanya, ia berpunca daripada hentakan ketika terhempas ke dataran dan tidak mungkin disebabkan si mati dicucuk dengan objek tumpul.

''Kecederaan atau trauma pada bahagian dubur akan menyebabkan kesakitan yang amat sangat. Jadi untuk si mati berjalan ke arah tingkap sebelum terjatuh adalah suatu yang mustahil.

"Kecederaan itu juga boleh menyebabkan pendarahan yang banyak sedangkan ia tidak kelihatan ketika saya pergi ke tempat kejadian,'' ujar Prashant.

Hock Chuan kemudian menjuruskan soalannya kepada beberapa teori peguam yang mengatakan Beng Hock kononnya telah diserang pada bahagian tengkorak sebelum terjatuh.

Menurutnya, Beng Hock juga sebenarnya tidak jatuh dalam posisi terlentang atau tertiarap, sebaliknya kaki mendiang telah mencecah dataran terlebih dahulu memandangkan tekanan yang lebih pada bahagian kaki kanannya.

Jawapan Prashant secara tidak langsung telah menyokong kesimpulan yang dibuat oleh Khairul sepanjang satu minggu memberikan keterangan sejak 11 Ogos lalu.

Prashant dalam keterangannya pada sebelah petang memberikan sembilan alasan yang membuktikan Beng Hock mati akibat bunuh diri.

Antaranya ialah kesan koyakan pada punggung seluar dan bahagian depan akibat regangan pada bahagian belakang dan sekitar alat kelaminnya. Selain itu, katanya, mustahil Beng Hock terjatuh kerana ketinggian birai tingkap melepasi tahap pusat graviti badan manusia.

''Terdapat juga kesan lekuk pada tapak kasut yang menunjukkan tekanan ketika si mati mencangkung di birai tingkap sebelum dia terjun. Di samping itu terdapat kesan-kesan cap jari comot di bahagian tepi tingkap,'' kata Prashant.

Terdahulunya, Hock Chuan memanggil semula saksi inkues ke-13, Cif Inspektor Mazli Jusuh dari cawangan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor untuk memberikan keterangan.

Menurut Mazli, beliau menemui cap jari yang tidak cukup sifatnya (negatif) berhampiran pemegang tingkap yang patah dan disebabkan kekurangan itu, cap jari tersebut tidak dihantar ke bahagian pendaftar penjenayah di Bukit Aman

No comments: