Wednesday, August 19, 2009

Majlis Fatwa teliti komen Nik Aziz: TPM

Majlis Fatwa teliti komen Nik Aziz: TPM

Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my


MUHYIDDIN sambil diperhatikan isteri, Puan Sri Noorianee Abd Rahman dan Profesor Khairil melancarkan buku siri Evolusi Kepimpinan I: Tinjauan Teori Terpilih, di Putrajaya, semalam.

Tindakan elak rakyat keliru

PUTRAJAYA: Majlis Fatwa Kebangsaan diminta meneliti dan memberikan pandangan berhubung kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat kononnya Islam yang dibawa Umno tidak membolehkan seseorang masuk syurga.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata majlis itu perlu memberikan pandangan sama ada kenyataan Menteri Besar Kelantan itu bercanggah dengan Islam.

Pada masa sama, beliau meminta pemimpin lain dalam Pas menasihati Nik Aziz jika benar parti itu memperjuangkan Islam bagi mengelakkan kekeliruan.

"Jika saya cakap, orang kata kenyataan saya berbaur politik (tetapi) ini soal hukum, akidah dan agama. Mungkin boleh disahkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan ulama.

"Jika lagi cepat (ulama memberi pandangan) lagi bagus untuk menghentikan kenyataan mengarut dan tidak Islamik," katanya selepas melancarkan buku siri Evolusi Kepimpinan I: Tinjauan Teori Terpilih karya Pegawai Khas Perdana Menteri, Profesor Khairil Annas Jusoh, di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Media Prima Berhad (Media Prima) yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Johan Jaafar. Buku pertama daripada empat siri itu mengisahkan mengenai teori terpilih dalam kepemimpinan menghadapi abad-ke-21.

Muhyiddin juga berkata, kenyataan Nik Aziz itu bukan pertama kali kerana pernah mendakwa Umno kafir dan mereka yang menyokong Pas masuk syurga dan yang menyokong Umno masuk neraka.

Beliau berkata, Nik Aziz tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sewenang-wenang tanpa segan silu kepada agama, walaupun mahu menghadapi pilihan raya kecil di Permatang Pasir.

Mengenai kedudukan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah, yang disahkan pemecatannya daripada Parti Progresif Penduduk (PPP), Muhyiddin berkata, ia terpulang kepada Perdana Menteri menentukannya.

Beliau juga berkata, kerajaan sedang mengkaji kewajaran memansuhkan ruangan bangsa dalam sesetengah borang rasmi.

No comments: