Wednesday, August 19, 2009

Bukan dapat masuk syurga pangkah bulan atau dacing

Bukan dapat masuk syurga pangkah bulan atau dacing

Oleh ZULKIFLI JALIL

PADA 2001, Presiden Pas, Allahyarham Fadzil Noor menafikan partinya menjanjikan balasan syurga bagi mereka yang menyokong perjuangan Pas.

Tiga tahun kemudian, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menyangkal Pas menggunakan isu syurga, neraka, pahala dan dosa untuk meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya umum waktu itu.

Slogan itu muncul lagi. Kali ini di Permatang Pasir, Pulau Pinang diungkapkan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

'Masuk Pas masuk syurga' ungkapan satu slogan yang tidak bersumberkan hadis dan bukan firman daripada al-Quran.

Slogan ini memang sesuai dan tepat dengan perjuangan Pas yang sudah begitu lama memprojekkan 'Pas itu Islam; Islam itu Pas.'

Ini membawa erti Islam itu ada dua jenis. Pertama, Islam agama suci ciptaan Allah dan kedua Islam Pas ciptaan manusia. Begitu berani mereka menyamakan pertubuhan politik mereka dengan agama suci Allah.

Para pemimpin Pas bukan sahaja mengeksploitasikan agama, tetapi juga bahasa. Apabila dislogankan 'masuk Pas masuk syurga' mereka akan menjawab di akhirat nanti bahawa erti 'masuk syurga Pas', bukan masuk syurga yang Allah sediakan untuk orang-orang beriman.

Persoalannya, adakah bakal penghuni syurga Allah terdiri daripada kaki mencarut, pemaki, pencerca, tukang fitnah, pengutuk, lebih-lebih lagi terhadap saudara seagama?

Dalam syurga Allah tidak akan ada penghuninya melaungkan kalimah suci ''Allahuakhbar" bagi menyahut seruan penghinaan, kata-kata carut seperti 'barua', gelaran-gelaran hodoh seperti 'maha firaun' dan beberapa lagi yang jelik dipaparkan.

Begitu juga dengan seruan iklan Pas 'pangkah bulan masuk syurga'. Sekali lagi ditegaskan, memang benar mereka masuk syurga, iaitu syurga ciptaan Pas di dunia ini.

Jelas ini satu lagi putar belit Pas. Inilah bukti yang menunjukkan pemimpin dan alim ulama Pas licik mencipta slogan untuk mempesona dan mempengaruhi pengikut-pengikutnya yang kurang mengerti tentang istilah bahasa.

Barangkali, Nik Abdul Aziz beranggapan bahawa dia tidak berdosa membuat seruan dan janji itu kerana dia tahu syurga yang diiklankan itu adalah 'syurga Pas', bukan syurga Allah.

Pada 1990, bekas ahli jawatankuasa Lujnah Undang-Undang Pas Pusat, Suhaimi Said meminta ulama Pas berhenti daripada membuat pelbagai hukum dan fatwa yang mengelirukan ahli sedangkan hukum-hukum itu berubah-ubah tanpa menentu.

''Sekejap halal, sekejap haram, sekejap kafir dan sekejap tidak kafir," tegasnya.

Umum meyakini para pemimpin UMNO dan pengikut-pengikut serta seluruh ummah hanya mempercayai syurga Allah sahaja. Dan penghuninya kelak terdiri daripada orang-orang yang benar-benar beriman dan bertakwa kepada Allah.

Bukan dapat masuk syurga kerana pangkah dacing atau bulan.

No comments: