Wednesday, August 19, 2009

Calon BN terus terima serangan peribadi

Calon BN terus terima serangan peribadi

BUKIT MERTAJAM: Pas meneruskan serangan peribadi terhadap calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Rohaizat Othman, walaupun sebelum ini menyatakan tidak akan berbuat demikian.

Pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir di sini, semalam, Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar, sekali lagi menyentuh isu pembatalan lesen peguam sivil Rohaizat.

Beliau yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas Pusat, mempertikaikan kemampuan Rohaizat sebagai wakil rakyat kerana gagal untuk mentadbir firma guaman dimilikinya bersama rakan kongsi dan mahu beliau menarik diri.

"Hendak uruskan firma yang hanya mempunyai beberapa peguam serta pekerja itu pun tidak boleh...macam mana hendak menjaga kawasan lebih besar seperti Permatang Pasir.

"Saya hairan kenapalah beliau dipilih sebagai calon BN. Saya cadangkan supaya beliau menarik diri daripada bertanding," katanya.

Sabtu lalu, beberapa pihak dilaporkan menyebut Rohaizat dinamakan calon BN bagi pilihan raya kecil berkenaan sudah dibatalkan lesen guamannya oleh Majlis Peguam.

Pendedahan itu dilihat sebagai usaha untuk menjejaskan peluang Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh itu untuk berhadapan dengan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd Salleh Man, pada pilihan raya kecil 25 Ogos ini.

No comments: