Wednesday, August 19, 2009

Pengundi diminta beri kemenangan kepada Rohaizat

Pengundi diminta beri kemenangan kepada Rohaizat

BUKIT MERTAJAM: Pengundi di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir perlu memberi kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman, bagi membolehkan BN menunaikan segala janjinya, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, berkata pengundi perlu memberi peluang sekali lagi kepada BN untuk menguasai DUN itu bagi membolehkan kawasan itu dibangunkan dan kebajikan penduduknya dijaga.

"Saya berjanji jika BN diberi peluang kali ini dan kemudian didapati Rohaizat tidak menjalankan tugas dengan baik, beliau akan digugurkan daripada pilihan raya umum akan datang.

"BN akan melaksanakan segala janjinya dan ini bukan gula-gula pilihan raya," katanya dalam sidang media selepas melawat bilik operasi Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini, semalam.

Terdahulu, Zahid turut melawat penduduk di Kampung Pelet, Penanti yang terletak dalam kawasan DUN Permatang Pasir.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan pencapaian terbaik parti pembangkang sejak Pilihan Raya Umum ke-12 adalah memecahbelahkan rakyat dan gagal mentadbir negeri.

Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata pencapaian itu kerana pemimpin mereka mempunyai kelebihan 'pandai berucap' dan mengkritik orang ketika berceramah.

"Mereka hanya pandai berucap dan boleh sensasikan sesuatu isu, tetapi cuba buat kerajaan...hancur semuanya seperti apa yang berlaku di Pulau Pinang dan Selangor," katanya selepas majlis perasmian Sidang Kemuncak Wanita 2009 di sini, semalam.

Mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno, berkata Wanita BN akan menjalankan kempen secara ikhlas, tidak menipu pengundi atau berjanji sekadar 'omong-omong kosong'.

No comments: