Wednesday, August 19, 2009

Rakaman sidang akhbar ditentukan hari ini

Rakaman sidang akhbar ditentukan hari ini

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Sama ada rakaman video sidang akhbar Karpal Singh pada 6 Februari lalu yang dirakam oleh kakitangan RTM boleh diterima sebagai bahan bukti dalam perbicaraan kes Akta Hasutan 1948 yang dihadapi Pengerusi DAP itu akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi di sini esok.

Pesuruhjaya Kehakiman, Azman Abdullah menetapkan demikian selepas selesai mendengar hujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin dan peguam bela tertuduh, Jagdeep Singh Deo berhubung perkara tersebut.

Rakaman sidang akhbar tersebut yang ditandakan sebagai ID6 pada peringkat ini, dibuat oleh jurukamera sambilan RTM, Adial Singh Hari Singh yang memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ketiga hari ini.

Dalam hujahannya, Jagdeep menyatakan, pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa rakaman tersebut telah dikendalikan dengan cara yang betul sehingga berjaya melampaui keraguan munasabah.

Saksi tersebut juga, kata beliau, dalam soal balas bersetuju dengannya bahawa dia tidak merakam keseluruhan sidang akhbar dan sesi soal jawab termasuk soalan daripada wartawan-wartawan yang hadir sehingga terdapat sela pada rakaman tersebut.

''Saksi juga mengakui bahawa dia sendiri yang memutuskan apa yang hendak dirakam dan apa yang tidak perlu dirakam.

''Dia juga tidak mempunyai kelayakan yang sewajarnya untuk mengatakan kamera dan pita rakaman berada dalam keadaan baik sepanjang masa malah pita yang digunakan merupakan pita yang diguna semula (recycle tape),'' ujarnya.

Sementara itu, Noorin menyatakan, walaupun saksi menggunakan pita rakaman yang diguna semula, mahkamah tidak boleh menolak fakta bahawa Adial merupakan pembuat rakaman tersebut.

''Berdasarkan Seksyen 61 Akta Keterangan, keterangan saksi bahawa dia adalah individu yang membuat rakaman tersebut merupakan bukti yang terbaik bagi rakaman tersebut diterima sebagai bukti,'' katanya.

Saksi tersebut, ujar beliau, walaupun tidak dapat mengingati secara jelas apa yang dikatakan oleh tertuduh pada hari kejadian telah mengesahkan bahawa isi kandungan pita tersebut merupakan rakaman sidang akhbar hari kejadian.

Beliau turut menyatakan, pihak pembelaan tidak pernah menyangkal bahawa rakaman dalam pita tersebut merupakan sidang akhbar yang dibuat oleh Karpal pada hari kejadian dan individu yang dipaparkan dalam rakaman adalah tertuduh sendiri.

Karpal dibicarakan atas tuduhan menyebut kata-kata menghasut berkaitan Sultan Perak pada satu sidang akhbar di pejabatnya, Tetuan Karpal Singh & Co, di Jalan Pudu Lama di sini, antara pukul 12 tengah hari dan 12.30 tengah hari pada 6 Februari lepas.

Ketika pemeriksaan utama terdahulunya, Adial menjelaskan, 'sela' yang terdapat dalam rakaman tersebut adalah disebabkan dia mengambil cut waste atau menghentikan sementara rakaman ketika soalan ditanya sebelum merakam semula apabila Karpal memberikan jawapan.

Dia juga menafikan bahawa suntingan telah dibuat terhadap rakaman tersebut.

Menjelaskan suara wartawan yang tidak jelas, katanya, ia disebabkan mikrofon diletakkan di hadapan tertuduh dan sebarang tindakan untuk menguatkan nada rakaman mikrofon akan menyebabkan suara Karpal menjadi tidak jelas (pecah).

Menjawab pertanyaan Jagdeep, dia tidak memahami apa yang dinyatakan dalam sidang akhbar tersebut kerana terlalu banyak istilah perundangan digunakan dan bukannya kerana ia dijalankan dalam bahasa Inggeris.

Adial walaupun diasak berulang kali oleh Jagdeep, tetap tenang menjawab bahawa kamera dan pita yang digunakan pada hari kejadian berada dalam keadaan baik kerana tiada sebarang isyarat amaran diberikan melalui viewfinder kamera.

Tindakan Jagdeep mengasak soalan demi soalan sehingga saksi tidak sempat menjawab turut menyebabkan Azman menegur peguam tersebut.

''Ini nak bagi jawab atau tidak,'' soalnya ringkas yang disambut dengan ketawa oleh mereka yang hadir.

No comments: