Wednesday, August 19, 2009

Samseng cuba peras ugut penyokong parti kena tahan

Samseng cuba peras ugut penyokong parti kena tahan

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang lelaki dipercayai ahli kumpulan samseng kerana cuba memeras ugut penyokong parti yang bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir bagi mendapatkan wang perlindungan, Ahad lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakub, berkata lelaki terbabit direman sehingga esok bagi membantu siasatan.

Kejadian berlaku Ahad lalu apabila lelaki terbabit bersama sekumpulan lelaki pergi ke markas parti politik terbabit dengan mengugut meminta wang perlindungan.

Suspek dikatakan pergi ke beberapa markas parti politik dan mengugut penyokong parti berkenaan supaya membayar wang perlindungan jika mahu keselamatan mereka terjamin.

"Penyokong parti yang bimbang dengan keselamatan mereka membuat laporan dan polis berjaya menahan lelaki terbabit beberapa jam selepas itu serta masih mengesan rakannya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Seberang Prai Tengah di Bandar Perda di sini, semalam.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut yang boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun, jika sabit kesalahan.

Ayub berkata, polis tidak akan membiarkan perkara itu berulang dan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang cuba mengugut orang ramai memberi wang perlindungan.

Beliau juga memberi amaran kepada mana-mana parti politik supaya tidak menggunakan khidmat samseng untuk menjaga keselamatan atau mengganggu ketenteraman awam.

Sementara itu, Ayub berkata, sehingga kelmarin, polis sudah meluluskan sebanyak 14 permit ceramah kepada Barisan Nasional (BN) dan 32 lagi permohonan baru.

"Permohonan baru itu membabitkan 14 permit untuk BN dan 18 lagi bagi Pas. Kita menasihatkan parti politik yang ingin mengadakan ceramah supaya mendapatkan permit," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ayub menafikan Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan mengalami kecederaan serius ketika ditahan apabila cuba mencetuskan kekecohan di pusat penamaan calon pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir, kelmarin.

No comments: