Wednesday, August 19, 2009

Permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim disebut 2 Sept.

Permohonan disebut 2 Sept.

Oleh AMIRUDDIN HARUN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi membatalkan kenyataan bertulis pendakwa raya yang mendakwa tiada fakta yang memihak kepada pembelaan dalam dokumen berkaitan kes liwat bekas pembantunya, akan disebut semula di Mahkamah Tinggi di sini pada 2 September ini.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) Lau Bee Lan menetapkan tarikh berkenaan semasa kes itu disebut di kamar beliau hari ini.

Tarikh yang sama juga ditetapkan untuk sebutan perbicaraan penuh kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Jenayah), Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Menurut peguam R. Sivarasa yang mewakili Anwar, hakim membenarkan penangguhan sementara menunggu keputusan rayuan pendakwa raya berhubung perintah Hakim Mohamad Zabidin yang membenarkan dokumen diserahkan kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan penuh dijalankan.

''Hakim ingin mengetahui sama ada keputusan rayuan itu adalah relevan atau sebaliknya kepada pendengaran permohonan ini,'' kata seorang lagi peguam bela Anwar, Latheefa Kooya.

Dua lagi peguam bela Anwar yang hadir ialah Amer Hamzah Arshad dan Leela J. Jesuthasan.

Pihak pendakwaan pula terdiri daripada Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden dan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan, Wong Chiang Kiat, Shamsul Sulaiman serta Mohamad Hanafiah Zakaria.

Pada 4 Ogos lalu, Anwar memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman untuk membatalkan 'Kenyataan Bertulis Mengenai Fakta-Fakta Yang Memihak Kepada Pembelaan' yang tidak bertarikh dan ditandatangani Mohamad Hanafiah.

Kenyataan tersebut diserahkan kepada Anwar pada 24 Jun lalu.

Dalam permohonan itu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu selaku pemohon menamakan Mohamad Hanafiah responden pertama, pendakwa raya responden kedua dan Kerajaan Malaysia responden ketiga.

Anwar antara lain memohon perintah deklarasi bahawa kenyataan bertulis tersebut adalah tidak menepati Seksyen 51A(1)(c) Kanun Tatacara Jenayah, batal dan tidak sah.

Beliau juga memohon perintah mandamus (memaksa pihak berkuasa mematuhi perintah mahkamah) terhadap responden kedua untuk membekalkan kepadanya fakta-fakta yang memihak kepada pembelaan dalam satu kenyataan bertulis yang menepati Seksyen 51A(1)(c) kanun berkenaan.

Turut dipohon ialah perintah larangan dan injunksi terhadap responden pertama dan kedua untuk menjalankan atau meneruskan pendakwaan atau sebarang prosiding terhadap beliau sehingga fakta-fakta yang memihak kepada pembelaan dalam satu kenyataan bertulis yang mematuhi seksyen tersebut dibekalkan.

Anwar juga memohon perintah pengantungan terhadap pihak responden untuk meneruskan pelaksanaan pendakwaan atau sebarang prosiding kes itu sehingga permohonan semakan kehakiman itu selesai.

Dalam permohonan itu, Anwar antara lain memberi alasan bahawa beliau merasa hairan dengan kenyataan bahawa tidak terdapat sebarang fakta yang memihak kepada pembelaan sedangkan dakwanya banyak fakta dalam dokumen tersebut yang memihak kepadanya.

Justeru, tegas beliau, kandungan kenyataan bertulis itu adalah sama sekali tidak benar, dibuat tanpa mengambil kira fakta-fakta yang relevan serta dibuat secara sewenang-wenangnya.

Anwar, 62, didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.

Pada 24 Julai lepas, Hakim Mohamad Zabidin membenarkan perintah penyerahan dokumen kepada pihak pembelaan ditangguhkan berikutan rayuan yang dikemukakan oleh pendakwa raya di Mahkamah Rayuan.

Pendakwa raya mengemukakan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan hakim tersebut membenarkan permohonan pasukan pembelaan untuk mendapatkan segala dokumen berkaitan kes itu kecuali sampel asid deoksiribonukleik (DNA).

No comments: