Sikap yang memalukan - Hishammuddin
KUALA TERENGGANU 18 Ogos - Tindakan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), N.Gobalakrishan yang menimbulkan kekecohan di luar pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN), Permatang Pasir semalam amat memalukan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sikap Ahli Parlimen Padang Serai itu tidak boleh diterima sama-sekali terutama dari segi keangkuhan dan kebiadaban beliau.
''Kalau inilah wakil rakyat yang jadi wakil kepada orang ramai, nampaknya mereka belum sampai kepada tahap kematangan (politik) yang dilaung-laungkan oleh pembangkang.
''Kita juga mungkin terpaksa guna semula amalan lama meletakkan Unit Tindakan Ringan (LSF) serta Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di barisan hadapan,'' katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO Terengganu di sini hari ini.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 11.30 pagi itu, Gobalakrishnan dikatakan mengingkari arahan polis dengan menggunakan alat pembesar suara serta melaungkan kata-kata berunsur provokasi termasuk menghambur kata-kata kesat terhadap polis.
Hishammuddin menambah, beliau berasa malu dan bersalah kerana mengarahkan polis supaya tidak menggunakan unit LSF serta FRU untuk mengawal keselamatan semasa proses penamaan calon semalam kerana berpendapat tidak akan berlaku kekecohan.
''Selalunya dalam pilihan raya kecil, apabila calon UMNO berdepan calon Pas tiada kekecohan.
''Jadi buat pertama kalinya saya minta jangan gunakan LSF dan jauh sekali minta FRU di barisan depan. Saya minta gunakan anggota polis tugas-tugas am," jelasnya.
Beliau berpendapat, arahannya supaya tidak menggunakan LSF dan FRU di barisan hadapan bagi mengawal keselamatan itu adalah kerana kadang-kala kehadiran mereka menakutkan orang ramai.
"Tetapi apa yang berlaku kepada polis yang hendak memastikan keadaan selamat? Kalau inilah balasannya, saya cukup malu kepada Parlimen,'' katanya.
Bagaimanapun, Hishammuddin melahirkan rasa lega dan bangga terhadap polis kerana tidak emosi dalam menangani insiden itu dan orang ramai boleh menilai kelakuan tidak bertanggungjawab wakil rakyat terbabit.
"Polis hanya menjalankan tugas mereka. Sebelum ini ada yang kata polis zalim. Kita bimbang jika keadaan ini tidak dikawal, satu hari nanti wartawan juga akan dipukul,'' katanya.
Malah katanya, sebelum ini pun ada wartawan yang pernah dipukul di Permatang Pauh.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment