BN tak ketandusan pemimpin - Saifuddin
PUTRAJAYA 18 Ogos - Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan keputusan Barisan Nasional (BN) memilih calon muda bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir membuktikan BN tidak ketandusan pemimpin pelapis.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, ia menunjukkan pemimpin tertinggi BN sudah mula memahami pengharapan dan imaginasi pengundi muda yang mahukan calon muda dan berkelayakan profesional.
"Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu, parti pembangkang mendakwa hanya mereka yang memahami imaginasi pengundi muda dan berdasarkan keputusan PRU ke-12, ramai calon BN khususnya UMNO di kawasan tertentu tidak mendapat sokongan pengundi muda.
"Tetapi berdasarkan dua pilihan raya kecil iaitu Manek Urai (Kelantan) dan Permatang Pasir, ia dilihat dapat menjawab dakwaan pakatan pembangkang itu dan kini BN turut memahaminya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas berucap pada Majlis Pertandingan Akhir Kuiz Pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) 2009 (Kategori Universiti) di sini hari ini.
BN mempertaruhkan Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38, dalam Pilihan Raya Kecil DUN Permatang Pasir untuk menentang Mohd. Salleh Man Mat Aji, 52, yang mempertahan kerusi itu bagi Pas.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment