Wednesday, August 19, 2009

Komputer riba, CPU disita

Komputer riba, CPU disita

Oleh NORAZLITA MOHD SIES dan NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 18 Ogos - Sebuah komputer riba dan satu unit pemerosesan pusat (CPU) dari meja Teoh Beng Hock yang mengandungi salinan dokumen-dokumen tuntutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan telah disita kurang 24 jam sebelum dia ditemui mati di tingkat lima, Plaza Masalam pada 16 Julai lalu.

Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Anuar Ismail, 32, (gambar) berkata, barang-barang tersebut disita dari pejabat Setiausaha Politik Exco Selangor itu di tingkat lima, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.

Menurutnya, tindakan itu diambil semasa siasatan dilakukan berhubung aduan penyalahgunaan peruntukan ADUN-ADUN Pakatan Rakyat di negeri Selangor.

Katanya, atas permintaan Beng Hock, komputer riba dan CPU itu dibawa ke pejabat SPRM di tingkat 14 Plaza Masalam dengan menaiki kereta mendiang sendiri bersama-sama dua pegawai SPRM, Mohamad Azhar Abang Mentaril dan Mohd. Hafiz Izhar Idris pada petang 15 Julai lalu.

''Saya maklumkan kepada Beng Hock supaya beliau hadir ke pejabat SPRM Selangor dengan menaiki kereta sendiri kerana peguamnya, M. Manoharan ada bertanya sama ada beliau boleh hadir sama. Saya beritahu tiada halangan.

''Semasa di lobi, Beng Hock maklumkan kepada saya dia mahu komputer riba dan CPU yang disita dibawa bersama-sama beliau. Saya seterusnya beritahu dua pegawai supaya menaiki kenderaan Beng Hock,'' katanya.

Semasa di pejabat SPRM, Mohd. Anuar yang merupakan saksi inkues ke-16 memberitahu, beliau membenarkan Beng Hock menghubungi Manoharan sebelum meminta beliau mematikan telefon bimbitnya selepas selesai membuat panggilan.

Beliau turut meminta dua pegawai SPRM menemu duga Beng Hock tentang latar belakang keluarga dan pekerjaan serta dokumen-dokumen yang mencurigakan daripada komputer riba serta CPU dicetak dan diserah kepada Mohd. Nadzri Ismail sebelum percakapan dirakam.

Dia kemudiannya keluar dari pejabat SPRM pada pukul 8.45 malam atas urusan peribadi dan balik semula ke sana pada pukul 12.45 malam selepas diarah berbuat demikian.

''Saya ada masuk ke bilik semasa Nadzri sedang merakam percakapan Beng Hock antara pukul 1.30 pagi dan 3.30 pagi dalam tempoh dua hingga tiga minit.

''Saya ada tanya Nadzri dan Beng Hock sekiranya terdapat apa- apa masalah semasa rakaman percakapan dibuat dan Nadzri memaklumkan tak ada apa-apa masalah, Beng Hock hanya berdiam diri,'' jelas beliau.

Mohd. Anuar memberitahu, beliau kemudiannya tidur di sofa berhampiran bilik rakam percakapan sebelum beralih ke surau dan bangun kira-kira pukul 5 pagi.

Ditanya oleh peguam yang mewakili kerajaan Malaysia, Tan Hock Chuan sama ada Beng Hock digari semasa berada di pejabat SPRM, beliau menjawab: ''Langsung tidak digari''.

Sebelum itu, Mohd. Anuar memberitahu, beliau bersama Penolong Penguasa, Mohd. Najeib Ahmad Walat, Mohd. Hafiz Izhar, Mohamad Azhar dan Nor Razid Mohd. Arifin telah pergi ke Pusat Khidmat ADUN Seri Kembangan kira-kira pukul 11.45 pagi, 15 Julai lalu.

Mereka kemudian pergi ke bangunan SUK selepas dimaklumkan pejabat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah serta setiausaha politiknya terletak di situ.

Pada penghujung prosiding hari ini, Hock Chuan turut mencadangkan agar rakaman percakapan Teoh yang diambil oleh pegawai SPRM diserahkan kepada mahkamah bagi membantu siasatan berhubung kematian lelaki itu.

Cadangan itu disokong Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Abdul Razak Musa yang bertindak sebagai peguam pemerhati mewakili SPRM.

Koroner Azmil Muntapha Abas yang mendengar prosiding inkues itu memberitahu beliau akan membacanya dahulu sebelum memutuskan sama ada ia relevan atau tidak untuk diserahkan kepada semua pihak yang turut membantunya mengendalikan kes itu.

Prosiding inkues bersambung esok.

No comments: