Wednesday, August 19, 2009

Analisis: Pas sekadar 'melukut di Pulau Pinang'

Analisis: Pas sekadar 'melukut di Pulau Pinang'

Oleh Fazli Abdullah
fazliabdullah@bharian.com.my

MELUKUT di tepi gantang. Itulah perumpamaan yang tepat bagi menggambarkan kedudukan Pas di dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang hari ini.

Apa tidaknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas yang berpengalaman selepas menang tiga pilihan raya umum berturut-turut sejak 1999, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, tidak diberi sebarang jawatan dalam kerajaan negeri.

Dua lagi parti dalam pakatan itu, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang masing-masing mempunyai 19 dan sembilan Adun, diperuntukkan lapan dan tiga kuota Exco kerajaan negeri termasuk jawatan ketua menteri dan timbalan ketua menteri.

Ini jelas menunjukkan Pas pada mata kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang seolah-olah tidak memberi makna apa-apa apabila tidak diberikan jawatan dalam kerajaan negeri.

Memang tidak dinafikan Pas mengharapkan sumbangan dan peranan parti itu dihargai seperti DAP dan PKR walaupun hanya ada satu kerusi, tetapi, Pas ibarat 'punguk rindukan bulan'.

Berbanding dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu, walaupun MIC mempunyai satu wakil dalam DUN selepas Pilihan Raya Umum 1999, tetapi parti itu diberi penghargaan dan pengiktirafan dengan memberi satu jawatan Exco.

Itulah bezanya keadilan dan erti perkongsian kuasa di kalangan parti komponen dalam kerajaan BN dengan kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang seolah-olah tidak mengambil kira sumbangan Pas.

Kalau benar-benar kerajaan negeri menghargai sumbangan Pas, wakil tunggal Pas itu dalam DUN sebelum ini yang diwakili oleh Mohd Hamdan, diberi tempat dalam barisan Exco kerajaan negeri.

Kini, wakil tunggal Pas dalam DUN sudah tiada ekoran kematian Mohd Hamdan akibat sakit jantung pada 31 Julai lalu.

Kerusi Permatang Pasir kosong dan milik siapakah kerusi itu akan ditentukan Selasa ini - calon Pas, Mohd Salleh Man, 52, atau calon BN, Rohaizat Othman, 38.

Pilihan raya kecil Permatang Pasir akan menjadi penentu sama ada Pas terus mempunyai wakil dalam DUN atau sebaliknya. Pas sudah tentu akan bermati-matian untuk menang kerana kekalahannya bererti parti itu gagal mempertahankan legasi Allahyarham Mohd Hamdan.

Penduduk perlu bertanya diri sendiri apa yang wakil rakyat Pas boleh lakukan untuk membawa perubahan jika kedudukan parti itu di dalam kerajaan negeri ibarat melukut di tepi gantang dalam Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Mungkin ada penduduk yang mendakwa ketika Pulau Pinang di bawah BN, kawasan itu juga ketinggalan berbanding dua lagi DUN dalam Parlimen Permatang Pauh iaitu Seberang Jaya dan Penanti.

Memang benar, tetapi penduduk harus ingat Permatang Pasir dimenangi oleh Pas sejak 1999 dan menjadi pembangkang di dalam DUN bersama DAP di bawah pentadbiran BN sehinggalah berlaku tsunami politik pada Mac 2008.

Dua penggal Pas menjadi pembangkang dan hakikat DUN Permatang Pasir ketinggalan berbanding kawasan yang diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri BN sebelum ini, boleh diterima dalam senario politik hari ini.

Kini, masanya sudah tiba untuk penduduk Permatang Pasir 'merujuk semula' dengan BN sesudah 'berpisah sementara' untuk masa depan yang lebih gemilang, bukan saja untuk mereka tetapi generasi akan datang.

Janji Kerajaan Pusat untuk menjadikan Permatang Pasir sebagai 'anak emas' jangan dipersia-siakan dan dipandang serong. Kerajaan Pusat ikhlas untuk membantu dan penduduk tidak sewajarnya melepaskan tawaran keemasan ini kerana mereka mungkin tidak akan mendapat peluang kedua jika gagal membuat keputusan yang bijak kali ini.

Fikirlah, nak jadi 'anak emas' atau 'melukut di tepi gantang'.

No comments: