Wednesday, August 19, 2009

SPR kecewa tindakan kasar Gobalakrishnan

SPR kecewa tindakan kasar Gobalakrishnan

Oleh Amin Ridzuan Ishak
aminridzuan@bharian.com.my

Kekecohan cemar suasana penamaan calon

BUKIT MERTAJAM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kecewa dengan Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan yang menimbulkan kekecohan ketika proses penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, kelmarin.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menganggap tindakan Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sebagai merosakkan suasana penamaan calon yang aman serta berlangsung tanpa sebarang kontroversi.

"Semuanya berjalan baik dan elok semalam (kelmarin) dengan kedua-dua penyokong memberi kerjasama penuh dengan datang dalam jumlah kecil serta tidak membuat bising sehingga mengganggu proses penamaan calon.

"Tetapi tiba-tiba ada pula orang buat hal (merujuk kepada tindakan Gobalakrishnan) yang menyebabkan keadaan bertukar walaupun tidak secara keseluruhan. Saya amat kecewa dengannya," katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, Gobalakrishnan yang pernah mencetuskan kekecohan ketika pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, Ogos tahun lalu ditahan polis kerana mencetuskan kekecohan di pusat penamaan calon.

Beliau ditahan selepas mengingkari arahan polis supaya tidak menggunakan alat pembesar suara untuk melaung-laungkan kata-kata berunsur prvokasi.

Kekecohan dimulakannya itu menyebabkan kira-kira 50 penyokong pembangkang cuba bertindak agresif dan merempuh kawalan polis di luar pusat penamaan calon itu.

Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak menyedari kejadian itu berlaku kerana ketika itu mereka sedang menguruskan proses penamaan calon serta hendak membuat pengumuman calon bakal bertanding.

"Kami hanya diberitahu mengenainya selepas itu. SPR mahu pihak polis menyiasat perkara ini supaya tindakan diambil terhadap individu bersalah," katanya.

Beliau berkata, mana-mana parti bertanding dilarang membuat bising dengan bergendang dan menggunakan pembesar suara seperti dilakukan Gobalakrishnan.

No comments: