Wednesday, August 19, 2009

'Tidak ada sebab saya perlu tarik diri'

'Tidak ada sebab saya perlu tarik diri'

BUKIT MERTAJAM 18 Ogos - Calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman menyifatkan desakan Pas supaya beliau menarik diri merupakan serangan peribadi untuk menutup kelemahan parti itu yang tidak bersedia menghadapi pilihan raya.

Menurut beliau, tidak timbul soal menarik diri daripada bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah mengesahkannya beliau layak berbuat demikian.

''Saya fikir (desakan) ini tidak lebih daripada satu serangan peribadi yang sengaja dijadikan helah dalam kempen pilihan raya.

''Serangan membuktikan Pas sendiri nampaknya tidak bersedia menghadapi pilihan raya lalu menjadikan ini sebagai isu," katanya kepada pemberita ketika membuat lawatan rumah ke rumah di perkampungan masyarakat Cina di Kampung Sama Gagah di sini hari ini.

Pengarah Pilihan Raya Kecil Pas, Datuk Mahfuz Omar dalam sidang akhbarnya hari ini meminta Rohaizat menarik diri bertanding pada pilihan raya kecil itu disebabkan lesen guaman sivil beliau dibatalkan oleh Majlis Peguam.

Lesen guaman Rohaizat dibatalkan berikutan masalah yang ditimbulkan oleh bekas rakan kongsi firma guamannya.

Ditanya kemungkinan isu tersebut akan menjejaskan peluang BN untuk menang dalam pilihan raya itu, Rohaizat berkata:''Tidak...saya fikir orang Permatang Pasir bijak membuat penilaian."

Rohaizat berkata, beliau lebih selesa menumpukan perhatian berjumpa dengan para pengundi bagi meraih sokongan mereka terhadap BN daripada melayan kerenah Pas yang jelas mahu menyerang peribadinya.

''Bila saya turun padang berjumpa dengan pengundi, mereka tidak pula merungut mengenai isu itu," tambahnya.

No comments: