SPR sahkan lesen guaman batal tidak jejas calon BN
Oleh Anwar Husin, Jalal Ali Abdul Rahim dan Mohd Anwar Patho Rahman
bhnews@bharian.com.my
Rohaizat layak tanding kerana tak menyalahi undang-undang
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan pembatalan lesen guaman sivil Rohaizat Othman tidak menjejaskan kedudukannya sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata calon itu layak bertanding kerana isu yang ditimbulkan tidak merujuk kriteria seseorang calon seperti termaktub dalam Perlembagaan.
"Salah laku yang ditimbulkan berhubung kait dengan pekerjaannya dulu, jadi tak ada kena mengena. Sebab itulah kita terima pencalonan dia walaupun ada bantahan.
"Saya tegaskan kita hanya melihat dari sudut perundangan dan isu dibangkitkan termasuk kenyataan oleh Majlis Peguam, tidak mencacatkan atau menjejaskan kelayakan Rohaizat sebagai calon seperti disebut dalam Perlembagaan," katanya semalam.
Beliau diminta mengulas kenyataan Majlis Peguam semalam bahawa Lembaga Disiplin Peguambela dan Peguamcara membatalkan nama Rohaizat daripada Daftar Peguambela dan Peguamcara pada 7 Mac 2008.
Kenyataan Setiausaha badan itu, George Varughese menyebut keputusan lembaga disiplin itu berdasarkan siasatan terhadap aduan bahawa Rohaizat gagal mengembalikan hampir RM161,000 kepada pengadu (Koperasi Pekebun Getah Pulau Pinang Bhd) selepas transaksi pembelian satu hartanah dibatalkan.
Rohaizat merayu keputusan itu ke Mahkamah Tinggi, tetapi ditolak pada 12 Ogos lalu, sekali gus menyebabkannya tidak layak mengamalkan profesion peguambela dan peguam cara.
Wan Ahmad berkata, pihaknya sudah merujuk kepada penasihat undang-undang dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan memutuskan tindakan Majlis Peguam terhadap Rohaizat bukan hukuman yang diputuskan mahkamah.
Sementara itu, Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan berkata, pihaknya tidak membatalkan tindakan terhadap Rohaizat walaupun pengadu kes menarik balik aduannya dua minggu selepas lesen guaman ditarik balik.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pula berkata Rohaizat layak bertanding kerana tiada kesalahan jenayah atau hukuman dikenakan mahkamah.
Katanya, mengikut Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, seseorang layak bertanding pilihan raya jika memenuhi syarat termasuk tidak pernah dijatuhkan hukuman penjara lebih setahun atau denda RM2,000 bagi apa-apa kesalahan.
Katanya, Rohaizat hanya dikenakan tindakan disiplin oleh Lembaga Tatatertib Majlis Peguam dan tiada sebarang laporan polis dibuat, manakala pengadu menarik balik semua aduan terhadapnya pada 28 Mac 2008.
Beliau berkata, koperasi berkenaan melantik Firma Saif Ariff T Jayaraj & Rohaizat untuk mewakili mereka dalam pembelian satu hartanah di Pulau Pinang dan urusan jual beli dikatakan dilakukan bekas rakan kongsi Rohaizat dalam firma itu dari 1999 hingga 2003.
Rakan kongsi Rohaizat dikatakan mengendali dan menerima wang dari koperasi itu dan melakukan segala urusan transaksi serta ditandatangani secara perseorangan.
Ahmad Zahid berkata, Rohaizat tidak mempunyai apa-apa pembabitan atau pengetahuan berhubung transaksi jual beli itu.
Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan dalam sidang media malam tadi, berkata tindakan Rohaizat terus kekal dalam firma berkenaan dan berusaha membayar semula wang berkenaan membuktikan beliau seorang yang berjiwa murni.
Katanya, Rohaizat menjadi penyelamat kepada firma itu kerana sanggup berkorban bagi pihak rakan kongsi walaupun
Bendahari koperasi, Omar Hamid yang hadir pada sidang media itu mengesahkan kes berkenaan sudah diselesaikan setahun lalu oleh Rohaizat dengan membayar semula wang berjumlah RM160,000 kepada koperasi.
Rohaizat ketika dihubungi berkata, beliau tidak mahu berpolemik dengan mana-mana pihak berhubung dengan isu itu, sebaliknya ingin memberi tumpuan menemui seramai mungkin pengundi dalam tempoh berkempen.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment