Gobalakrishnan minta dibicarakan
Oleh HERMAN HAMID
herman@utusan.com.my
BUKIT MERTAJAM 18 Ogos - Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menggunakan kekerasan jenayah ke atas seorang anggota polis bagi tujuan menghalangnya daripada menjalankan tugas.
Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dituduh melakukan perbuatan tersebut pada kira-kira pukul 11 pagi semalam di hadapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Jalan Berapit, Kubang Semang dalam daerah Seberang Perai Tengah.
Gobalakrishnan yang tiba di mahkamah dalam keadaan berkerusi roda dan tangan kiri berbalut kemudiannya mengangguk tanda memahami pertuduhan yang dibacakan sebelum meminta dibicarakan.
Tertuduh yang didakwa mengikut seksyen 353 Kanun Keseksaan itu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika didapati bersalah.
Mengikut kertas pertuduhan, Gobalakrishnan didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas seorang anggota polis iaitu Sub Inspektor M. Karunamuthi yang merupakan seorang penjawat awam yang ketika kejadian sedang melaksanakan tugasnya.
Pertuduhan didengar di hadapan Majistret, Mohd. Azhar Hamzah manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim dan dibantu oleh Arif Zakri Abdul Kadir dan Siti Nursakinah Ibrahim.
Gobalakrishnan pula diwakili lapan orang peguam bela diketuai RSN Rayer, J.M Martin, Lim Bu Chang, Lim Boon Beng, Mustafa Basri, Mohd. Azman Harun, Ahmad Tarmizi Yusof dan Harizam Yaakob.
Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 setelah menerima permohonan daripada pihak pembelaan supaya dikenakan pada kadar yang lebih rendah berbanding RM5,000 yang ditawarkan pihak pendakwa.
Sepanjang prosiding, Gobalakrishnan yang memakai pakaian hospital berwarna hijau kelihatan seperti tidak bermaya ketika berada di kandang tertuduh sehinggalah proses pertuduhan selesai.
Bagaimanapun selepas wang ikat jamin dikemukakan, beliau sempat memberikan sidang akhbar selama lebih lima minit sebelum kemudiannya meninggalkan mahkamah dengan menaiki ambulans Hospital Bukit Mertajam.
Sementara itu, prosiding pertuduhan hari ini yang pada kebiasaannya mengambil masa hanya untuk beberapa minit bagaimanapun berlarutan selama hampir setengah jam.
Ini berikutan tindakan pihak pembela yang beberapa kali cuba menarik perhatian mahkamah untuk bersimpati terhadap kejadian yang menimpa Gobalakrishnan sewaktu proses tangkapan dilakukan semalam.
Selain itu prosiding hari ini turut meleret kepada beberapa perkara berikutan pihak pembela membangkitkan tentang tindakan sivil yang mahu diambil tertuduh serta laporan polis berhubung insiden itu.
Perkara berkaitan seluar dan tali pinggang yang dipakai tertuduh semalam turut dibangkitkan kerana pihak pembela tidak mahu ia disimpan oleh pihak polis.
Ini kerana mereka mendakwa ia adalah bukti penting dalam tindakan sivil serta laporan polis yang dibuat tertuduh.
Suhaimi yang seperti rimas dengan 'keluhan' pihak pembela itu kemudiannya meminta mahkamah untuk tidak membazirkan masa mendengar rintihan seperti itu memandangkan prosiding hari ini ialah untuk proses pertuduhan.
''Bukan tujuan di sini nak mendengar rintihan. Apa dia (tertuduh) nak buat selepas ini, itu hak dia. Tapi hari ini ialah proses pertuduhan. Kita nak ambil pengakuan bersalah atau tidak saja, kenapa gabung dengan isu yang lain," soal Suhaimi yang kemudian dipersetujui Azhar supaya ditumpukan kepada soal mengurangkan jaminan.
Majistret kemudian menetapkan 28 September ini sebagai tarikh sebutan selepas mempertimbangkan permohonan pembela yang mahu tempoh sebulan diberikan kerana tertuduh mahu mendapatkan rawatan pakar berikutan insiden yang dialami itu.
Dalam pada itu, tidak ramai pemimpin kanan pembangkang yang kelihatan di mahkamah kecuali Naib Presiden PKR, Mustafa Kamil Ayub yang tiba sewaktu prosiding sedang berlangsung manakala Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng tiba selepas prosiding selesai.
Mengikut laporan media, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob menjelaskan yang Gobalakrishnan ditahan polis setelah enggan menuruti arahan supaya tidak mencetuskan provokasi dengan alat pembesar suara yang sememangnya dilarang digunakan ketika proses penamaan calon.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment