Wednesday, August 19, 2009

FRU, LSF ditempatkan di DUN Permatang Pasir

FRU, LSF ditempatkan di DUN Permatang Pasir


Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@bharian.com.my

ROHAIZAT bersama isterinya, Khairul Niza Abdul Razak (tiga dari kanan) menyerahkan poster kepada Fatimah Ishak (dua dari kiri) ketika berkempen di Kampung Petani, semalam.

Kawalan anggota polis jamin keselamatan pilihan raya

KUALA TERENGGANU: Kementerian Dalam Negeri akan menggunakan semula khidmat Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Unit Tindakan Ringan (LSF) untuk mengawal perjalanan pilihan raya bagi menjamin keselamatan rakyat selepas insiden kekecohan dicetuskan wakil rakyat pembangkang pada hari penamaan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, kelmarin.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata beliau sebelum ini mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak meletakkan anggota FRU dan LSF di barisan hadapan, selepas menilai kematangan pihak pembangkang menghadapi beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, dengan kekecohan dicetuskan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) kementeriannya akan kembali menempatkan FRU dan LSF untuk kawalan bagi memastikan keselamatan awam terjamin sepanjang tempoh berkempen dan hari mengundi.

"Saya marah dan malu.. saya sendiri rasa bersalah kepada pihak polis kerana minta mereka tidak meletakkan FRU dan LSF di barisan depan, sebaliknya hanya menugaskan anggota am.

"Lazimnya apabila calon Pas dan Umno bertanding, tidak ada kekecohan berlaku. Kita juga meneliti pada peringkat pondok panas dan perayu undi, malah perjalanan kempen pun berjalan lancar dan matang. Saya tengok semuanya berdisiplin. Atas dasar berasakan amalan demokrasi semakin matang, kita merasakan tidak perlu gunakan FRU dan LSF.

"(Tetapi) kalau inilah cara demokrasi, kebebasan untuk bersuara yang wakil rakyat nak menunjukkan hero, saya rasa (lebih baik) kita kembali kepada cara lama. Yang penting ialah keselamatan orang ramai. Kita tidak akan benarkan sesiapa mewujudkan huru-hara dalam negara," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Terengganu di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan, Ahli Parlimen Padang Serai yang juga Ahli Majlis Tertinggi PKR, N Gobalakrishnan mencetuskan kekecohan apabila mengingkari arahan polis tidak menggunakan alat pembesar suara untuk melaungkan kata-kata berunsur provokasi.

No comments: