Oleh Mohd Anwar Patho Rohman dan Fazallah Pit
bharian@bharian.com.my
PEKAN Penanti tenang tiada sebarang bendera atau poster parti bertanding dipasang sepanjang Jalan Besar Penanti. |
SPR akan awasi kempen calon, sepanduk langgar etika
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap parti dan calon yang memburukkan parti yang tidak bertanding dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata perbuatan menjatuhkan maruah parti yang tidak bertanding dalam pilihan raya adalah tindakan yang tidak beretika dan boleh dikenakan hukuman kerana melanggar Akta Keselamatan Pilihan Raya.
"SPR menganggap apa-apa perbuatan yang memburuk-burukkan parti atau individu yang tidak bertanding ketika tempoh kempen sama ada melalui ceramah, slogan, sepanduk atau poster sebagai tidak beretika kerana menyalah gunakan ruang dan peluang berkempen.
"Ketika berkempen, parti dan calon yang bertanding sepatutnya mengambil peluang memperjelaskan manifesto dan janji yang hendak dibawa dan akan cuba ditunaikan kepada pengundi. Bukannya memburuk-burukkan parti lain yang tidak ada kena mengena dalam pilihan raya kecil ini," katanya kepada Berita Harian, semalam.
Pilihan raya kecil Penanti 31 Mei ini menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mansor Othman, 59, dan tiga calon Bebas, iaitu Aminah Abdullah, 56, yang juga bekas Ketua Wanita PKR; bekas Ketua Pemuda Gerakan cawangan Teluk Wang, Nai Khan Ari, 41, serta pakar motivasi, Kamarul Ramizu Idris, 42.
Hari pertama kempen kelmarin menyaksikan penceramah dari parti pembangkang dilaporkan melempar pelbagai tohmahan terhadap Barisan Nasional (BN), kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak, konsep 1Malaysia dan menuduh Umno parti perkauman selain mempertikai keputusan mahkamah berhubung isu Menteri Besar Perak.
KERANI penyemak daftar pemilih SPR, Meor Ariffin Mat Ali (dua dari kiri) membantu warga emas, Mohd Khalid Ghazali, 56, (kiri) di kaunter SPR di Kubang Semang, Penanti, semalam. |
Perdana Menteri dilaporkan sebagai berkata, BN tiada kaitan dengan pilihan raya kecil Penanti, dan tidak akan menghantar sesiapa berkempen pada pilihan raya itu.
Wan Ahmad berkata, antara tindakan yang boleh diambil SPR ialah mengarahkan sepanduk atau poster yang memburukkan parti yang tidak bertanding diturunkan, manakala polis boleh menarik balik permit ceramah atau meminta penganjur menghentikan ceramah.
"SPR akan bertegas dalam hal ini. SPR akan mengawasi perjalanan kempen di Penanti. Parti atau individu yang memburuk-burukkan parti yang tidak bertanding akan dikenakan tindakan jika ingkar arahan ini," katanya.
Di BUKIT MERTAJAM, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendakwa BN cuba memperoleh kemenangan moral dengan menaja calon Bebas supaya majoriti undi yang diperoleh PKR, merosot.
"Jangan ingat BN tak letak calon bermakna mereka tidak bertanding. Mereka cuma tidak berani berlawan secara berdepan tetapi sebenarnya mahu 'menang tanpa bertanding'. Jadi, jangan ambil mudah pilihan raya Penanti.
"Tengok calon Bebas, siapa dia? Bukan proksi BN? Saya menyeru pengundi Penanti, jangan sampai undi majoriti kita jatuh walaupun memang yakin menang," katanya ketika berceramah di Berapit di sini, malam kelmarin.
No comments:
Post a Comment