Monday, May 25, 2009

Keputusan Mahkamah Rayuan diakui tepat

Keputusan Mahkamah Rayuan diakui tepat

KUALA LUMPUR 24 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan Mahkamah Rayuan yang menetapkan Datuk Dr. Zamry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak diterima sebagai berada di landasan yang betul oleh pihak Queen's Counsel dari United Kingdom.

Kata Perdana Menteri, salah seorang ahli Queen's Counsel, Lord Lester yang diminta pandangan perundangan berhubung krisis di negeri itu berpendapat bahawa sistem kehakiman Malaysia berada di landasan yang betul.

"Pendapat oleh Mahkamah Rayuan itu dikongsi oleh pakar undang-undang peringkat antarabangsa seperti seorang Queen's Counsel bernama Lord Lester yang kita telah terima pendapat perundangannya.

"Kalau Queen's Counsel seperti Lord Lester boleh keluarkan pendapat kita berada di atas landasan yang betul seperti mana keputusan Mahkamah Rayuan, janganlah disalah-ertikan atau diberi pandangan negatif terhadap badan kehakiman negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2009 Peringkat Kebangsaan di pusat membeli-belah IOI Mall di Puchong dekat sini hari ini.

Beliau mengulas reaksi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan sebagai sesuatu yang mengecewakan dan memperlihatkan badan kehakiman negara hancur dan perlu diperbetulkan.

Malah Anwar menyifatkan penghakiman kemelut di Perak dibuat mengikut selera politik dan arahan.

Dalam pada itu, Najib menempelak sikap pembangkang di negara ini terutama dalam isu Perak yang menetapkan label kebebasan terhadap mahkamah di negara ini mengikut faedah yang diperoleh mereka.

"Kita tidak boleh mengambil sikap kalau keputusan itu memihak kepada kita, maka kita kata sistem kehakiman itu bebas.

"Tetapi kalau sistem kehakiman itu atau mahkamah mengambil keputusan yang sama dengan kehendak kerajaan, maka badan kehakiman itu pula dituduh sebagai mengikut telunjuk kerajaan, ini tidak adil," jelasnya.

Perdana Menteri juga mengkritik Anwar yang cuba memburukkan Barisan Nasional (BN) yang membentuk kerajaan dengan sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri Perak sedangkan beliau sendiri pernah berusaha memujuk 31 Ahli Parlimen membentuk kerajaan pusat dalam kaedah sama.

Mengulas isu sama, Najib turut berharap krisis di Perak dimuktamadkan segera agar kerajaan dapat memulakan usaha yang lebih fokus untuk membantu membangunkan rakyat Perak.

Malah, beliau bersifat positif dengan berkata, pihak pembangkang masih berhak membawa kes mereka ke Mahkamah Persekutuan tetapi berharap ia dilakukan dengan pantas demi memastikan krisis di Perak diselesaikan segera.

"Kita harap ada penamat dari segi proses ini, saya difahamkan kemungkinan besar mereka (pembangkang) akan buat rayuan di Mahkamah Persekutuan, mereka ada hak buat rayuan.

"Kita terimalah apa keputusan mahkamah yang tertinggi sekali, dari segi kerajaan kita berharap ada penyudahnya atau 'finality' dalam proses ini agar kerajaan dapat berkhidmat untuk rakyat," jelasnya.

Ditanya keperluan mengadakan sidang DUN di negeri itu bagi mencari penyelesaian lain, beliau berkata itu satu pilihan tetapi tidak semestinya kerajaan majoriti perlu mengambil tindakan demikian saja.

Mengenai cadangan DAP mahu mengadakan mogok lapar selama tiga hari di Perak bermula Selasa ini, Perdana Menteri berharap tiada pihak yang perlu berbuat demikian sedangkan langkah perundangan masih terbuka.

"Sepatutnya tidak berlaku perkara seperti itu, kita patut serah kepada proses Perlembagaan dan undang- undang negara, kita tengok proses undang-undang belum selesai," katanya.






Najib kesal parti pembangkang tuduh BN atur keputusan


PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak kesal dengan sikap parti pembangkang yang menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) mengatur keputusan Mahkamah Rayuan dalam menentukan Menteri Besar Perak yang sah.

Perdana Menteri berkata, adalah tidak adil untuk menuduh badan kehakiman negara mengikut telunjuk kerajaan hanya kerana penghakiman yang dibuat itu memihak kepada kerajaan.

"Tetapi apabila sesuatu keputusan itu memihak kepada pihak berkenaan, maka mereka katakan sistem kehakiman kita bebas, sikap seperti ini tidak boleh diamalkan.

"Mahkamah bebas daripada pengaruh mana-mana pihak. Malah, keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan Datuk Seri Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak juga selaras pandangan pakar perundangan antarabangsa, Queen's Counsel, (Peguam Diraja) Lord Anthony Lester.

"Kita dapatkan pendapat dan pandangan perundangannya berhubung perkara itu, baru-baru ini.

"Jika Queen's Counsel boleh keluarkan pendapat bahawa kita berada di landasan yang betul seperti keputusan Mahkamah Rayuan, oleh itu jangan disalahertikan atau diberi pandangan negatif kepada badan kehakiman negara," katanya pada sidang media selepas melancarkan Minggu Perpaduan 2009 Peringkat Kebangsaan di IOI Mall di sini, semalam.

Najib juga membidas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertikaikan keputusan Mahkamah Rayuan itu kerana beliau sendiri pernah cuba menubuhkan kerajaan menggunakan cara sama dengan mempengaruhi 31 Ahli Parlimen BN untuk lompat parti.

"Sepatutnya dia (Anwar) tanya pada dirinya sendiri daripada buat tuduhan mengenai sistem kehakiman kita," katanya ketika ditanya kenyataan Anwar yang mendakwa badan kehakiman negara sudah hancur dan penghakiman Mahkamah Rayuan itu mengikut selera politik serta arahan pihak tertentu.

Khamis lalu, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lalu yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pemegang sah jawatan itu.

Ditanya sama ada keputusan Mahkamah Rayuan itu dapat menyelesaikan krisis politik di Perak, Perdana Menteri berkata: "Kerajaan harap ada kesudahannya proses ini supaya kerajaan dapat berkhidmat kepada rakyat."

Bagaimanapun, katanya, Pakatan Rakyat mempunyai hak mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Mengenai kemungkinan BN mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN), Najib berkata: "Itu pilihan terbuka pada kita, tetapi tidak semestinya ia satu-satunya jalan menentukan kerajaan mana ada suara majoriti."

Mengenai mogok lapar yang dirancang pembangkang untuk mendesak Sultan Perak membubarkan DUN, Perdana Menteri berkata, ia tidak sepatutnya berlaku dan pihak berkenaan seharusnya menyerahkan isu itu kepada proses undang-undang.

No comments: