Monday, May 25, 2009

ADUN Teratai dibebas dengan jaminan polis

ADUN Teratai dibebas dengan jaminan polis

KUALA LUMPUR 24 Mei - Kesemua 16 orang termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee Ying Haa yang direman dua hari kerana menyertai perhimpunan di Taman Muda Ampang, Khamis lalu, dibebaskan hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, kesemua mereka dibebaskan dengan bon jaminan sebanyak RM2,000 setiap seorang pada pukul 10.30 pagi.

''Kesemua mereka bagaimanapun perlu melaporkan diri semula di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, bagi semakan status pendakwaan pada 10 Jun ini,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, seramai 16 orang termasuk Jenice ditahan kerana menyertai perhimpunan haram di hadapan bangunan Pejabat DAP, Taman Muda Pandan Indah di sini, sebagai tanda protes terhadap kemelut politik di Perak.

Kesemua mereka iaitu 12 lelaki dan empat wanita berusia antara 20 dan 50 tahun turut membawa bekas berisi lilin yang menyala sambil berarak di jalan raya.

Semalam, polis telah melakukan pemeriksaan di Ibu Pejabat DAP di Seksyen 20/9, Petaling Jaya, Selangor, dan mengambil beberapa bahan bukti termasuk komputer dan perisian yang disyaki digunakan untuk menerbitkan risalah mengandungi unsur hasutan.

No comments: