Monday, May 25, 2009

Mogok lapar tindakan murahan pakatan pembangkang raih simpati

Mogok lapar tindakan murahan pakatan pembangkang raih simpati

KUALA LUMPUR 24 Mei - Rancangan pakatan pembangkang melancarkan mogok lapar selama tiga hari bagi mendesak Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan disifatkan tindakan murahan bagi meraih simpati rakyat.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Idris Haron berkata, pakatan pembangkang perlu menerima keputusan Mahkamah Rayuan kelmarin kerana ia sah dari segi undang-undang dan dibuat secara terbaik oleh tiga panel hakim yang terbabit.

"Mereka seharusnya melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan menghadiri Persidangan DUN Perak yang akan datang, bukannya melancarkan mogok seumpama ini.

"DUN Perak tidak perlu dibubarkan pada masa sekarang kerana rakyat Perak masih boleh membuat penilaian mereka sendiri seterusnya mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming memberitahu, pakatan pembangkang akan melancarkan mogok lapar mulai Selasa ini untuk mendesak Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, membubarkan DUN.

Kor Ming berkata, kempen itu akan dirasmikan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dan bekas Speaker, V. Sivakumar malah pelbagai program diatur sempena kempen bermula pukul 10 pagi di Wisma DAP.

Tindakan pakatan pembangkang itu diambil berikutan kekecewaan mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah kelmarin.

Dalam pada itu, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, pakatan pembangkang cuba mengeruhkan keadaan dengan mengelirukan rakyat Perak tentang kejatuhan kerajaan pakatan pembangkang dengan melancarkan kempen mogok lapar Selasa ini.

"Ia bukan idea yang bernas malah tidak wajar dilakukan untuk meraih simpati rakyat terhadap pakatan pembangkang. Mereka perlu menghormati keputusan Mahkamah Rayuan kelmarin," katanya.

Menurut Cho Ha, sikap pakatan pembangkang yang tidak habis-habis mencetuskan kontroversi akan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Perak di saat-saat rakyat negeri itu memerlukan lebih banyak program pembangunan pada masa ini.

Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn berkata, kempen mogok lapar tiga hari itu tidak memberi sebarang faedah kepada rakyat Perak dan jelas menunjukkan pakatan pembangkang sedang bermain wayang kulit.

"Mereka mahu mengapi-apikan emosi dan sentimen tinggi rakyat Perak supaya simpati terhadap nasib pembangkang. Tidak mustahil selepas ini ada lagi gimik politik lain yang mereka cetuskan," ujarnya.

Ko Youn berkata, wakil rakyat pembangkang tidak boleh terus alpa dengan sentimen politik semasa dan harus mengutamakan tugas mereka untuk membantu rakyat Perak menghadapi cabaran krisis ekonomi.

Tambahnya, pakatan pembangkang dilihat mengamalkan sikap dwi-standard apabila mempertikaikan keputusan Mahkamah Rayuan kelmarin.

"Walhal mereka yang memulakan kes mahkamah tersebut apabila mengemukakan permohonan semakan undang-undang mencabar kesahihan pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak," jelasnya.

Naib Presiden MIC, Datuk S. Veerasingam berkata, tindakan pakatan pembangkang hendak melancarkan mogok lapar dan tidak mempedulikan kebajikan rakyat itu boleh mencetuskan huru-hara di Perak.

"Mereka mahu membuatkan orang ramai benci kepada kerajaan Barisan Nasional (BN). Justeru, saya meminta rakyat jangan menyokong pakatan pembangkang yang tidak menghormati undang-undang dan amalan demokrasi di negara ini," katanya.





Mogok lapar niat ugut keputusan mahkamah
Oleh Mohd Feroz Abu Bakar dan Syuhada Choo Abdullah
bhnews@bharian.com.my

Tindakan Pakatan Rakyat cabar institusi kehakiman

IPOH: Mogok lapar yang dianjurkan Pakatan Rakyat selama tiga hari bermula esok adalah satu bentuk ugutan terhadap sistem mahkamah supaya membuat keputusan yang memihak kepada mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata tindakan itu amat tidak wajar kerana akan memberi kesan kepada kebebasan mahkamah dalam membuat keputusan.

Katanya, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Jumaat lalu dan mogok lapar berkenaan cuba mempengaruhi barisan hakim.

"Hakim adalah manusia biasa. Mereka mungkin tertekan atau takut membuat keputusan yang silap dan penyokong Pakatan Rakyat akan mati (akibat mogok lapar)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Bumi Hijau Parlimen Padang Rengas di sini, semalam.

Jumaat lalu, tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan rayuan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi 11 Mei lalu yang mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Kelmarin, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming mengumumkan Pakatan Rakyat akan melancarkan mogok lapar selama tiga hari mulai Selasa ini untuk mendesak Sultan Perak, Sultan Azlan Shah membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Mohamed Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata, kempen mogok lapar oleh Pakatan Rakyat itu cuba menimbulkan kekacauan selepas mereka tewas di mahkamah.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim, menyifatkan tindakan pembangkang bertujuan meraih simpati rakyat dan jelas tidak menghormati keputusan mahkamah.

Malah, beliau menegaskan, perbuatan itu bertentangan prinsip Rukun Negara yang meliputi penekanan kepada kedaulatan undang-undang sebagai sebahagian daripada proses membina negara.

"Pembangkang memanipulasi suasana apabila melihat BN menonjolkan semangat keharmonian, sayangkan negara serta memupuk perpaduan, maka dia tawarkan kepada rakyat semangat benci dan menentang," katanya.

Beliau secara sinis berkata: "Buatlah mogok lapar... jangan tiga hari saja tetapi sehingga Mohammad Nizar dapat menjadi Menteri Besar. Jika hendak mogok lapar, tidak payahlah memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

"Janganlah mogok lapar untuk memperjuangkan kes berkepentingan politik mereka saja... buatlah untuk semua kes yang kalah di Mahkamah Rayuan. Ajarlah rakyat apabila kalah kes Mahkamah Rayuan, buat mogok lapar."

No comments: