Monday, May 25, 2009

Pilih calon selepas umum tarikh

Pilih calon selepas umum tarikh


Mustapa Mohamed meluangkan masa menziarah dan menyampaikan sumbangan kepada balu Allahyarham Ismail Yaacob, Siti Zaharah Ibrahim di Kampung Manek Urai Lama, Kuala Krai, Kelantan, semalam. - UTUSAN/Rosni Masri


KOTA BHARU 24 Mei - Badan Perhubungan UMNO Kelantan akan hanya memilih calon untuk mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.

Pengerusinya, Datuk Mustapa Mohamed berkata, masih terlalu awal bagi pihaknya menentukan calon kerana tumpuan utama sekarang adalah bagi memperkukuhkan jentera parti di semua peringkat bagi menghadapi pilihan raya kecil tersebut.

"Belum ada calon lagi. Kami perlu tunggu SPR umumkan tarikh penamaan calon terlebih dahulu dan UMNO Kelantan juga masih perlu bermesyuarat dengan semua Ketua Bahagian yang ada.

"Malam ini kami hanya mendengar taklimat mengenai keadaan di Manek Urai daripada Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Abdul Rahman dan langsung tidak membincangkan soal calon di DUN itu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Biro Politik UMNO negeri di sini malam tadi.

Kerusi DUN N41 Manek Urai yang terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Krai kosong selepas penyandangnya, Ismail Yaacob, 60, meninggal dunia Jumaat lalu kerana komplikasi jantung.

Allahyarham menyandang kerusi tersebut sejak pilihan raya umum 1986. Bagaimanapun pada pilihan raya umum 2004 beliau tidak dipilih untuk mewakili Pas dan menyaksikan calon parti itu, Zamzuri Mat Lazim, tewas kepada calon BN, Mohd. Zulkifli Omar dengan majoriti 53 undi.

Pada pilihan raya umum lalu, Ismail dipilih kembali dan menewaskan Mohd. Zulkifli dengan majoriti 1,352 undi.

Jelasnya, apa sahaja keputusan di DUN itu tidak menjadi keutamaan kerana yang penting UMNO akan memberi tentangan sengit kepada Pas yang terlalu yakin untuk memenanginya.

"Jentera pilihan raya kita telah pun berada di Manek Urai secara tidak rasmi untuk mengkaji kehidupan penduduk di sana dan melihat perubahan yang perlu kita berikan kepada mereka.

"Kami masih merancang strategi, kita akan tunggu sehingga SPR mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian, selepas itu baru kita akan jalankan segala yang telah dirancang," katanya.

No comments: