Monday, May 25, 2009

Barisan baru UMNO Kelantan

Barisan baru UMNO Kelantan

KOTA BHARU 24 Mei - Badan Perhubungan UMNO Kelantan hari ini mengumumkan senarai penuh kepimpinannya dengan menampilkan dua muka baru untuk memegang jawatan penting.

Mereka ialah Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat dan Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Dali Hussein yang dilantik sebagai Bendahari dan Ketua penerangan.

Hanafi mengambil alih jawatan tersebut daripada Datuk Noor Zahidi Omar yang telah dilantik sebagai setiausaha badan perhubungan yang baru.

Noor Zahidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Tumpat menggantikan tempat Datuk Ramzi Ab. Rahman.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Ketereh (ADUN), Datuk Alwi Che Ahmad yang sebelum ini menyandang jawatan Ketua Penerangan UMNO Kelantan telah dilantik sebagai Setiausaha Barisan Nasional Kelantan selepas jawatannya diambil alih Dali.

Pelantikan ketiga-tiga tokoh berkenaan diumumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Biro Politik di Bangunan UMNO di sini malam tadi.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein.

Mustapa berkata, gabungan muka lama dan baru itu akan memperkuatkan lagi parti itu dalam usaha untuk mendapatkan keyakinan daripada rakyat negeri ini.

"Saya percaya gandingan pemimpin ini akan membentuk sebuah pasukan yang kuat untuk menarik sokongan daripada rakyat bagi menawan negeri ini pada pilihan raya umum akan datang.

"Ujian pertama kita ialah pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai dan saya yakin barisan yang kita ada hari ini mampu untuk mencatatkan kemenangan," katanya.

No comments: