Monday, May 25, 2009

Polis kini terima 34 permohonan

Polis kini terima 34 permohonan

PULAU PINANG 24 Mei - Polis sehingga kini menerima 34 permohonan permit untuk mengadakan ceramah daripada empat calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Pegawai Perhubungan Media PDRM bagi Pilihan Raya Kecil DUN Penanti. Supt. Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, jumlah itu dijangka bertambah dari semasa ke semasa sehingga hari pengundian 31 Mei ini.

"Kami telah terima 34 permohonan bagi mengadakan ceramah sepanjang tujuh hari berkempen daripada empat calon yang bertanding pada pilihan raya kecil itu.

"Sejak 24 jam lepas, enam ceramah telah diadakan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kesemuanya mempunyai permit. Setakat ini tidak ada ceramah oleh calon Bebas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pilihan Raya Kecil DUN Penanti menyaksikan pertandingan empat penjuru antara seorang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan tiga calon Bebas.

Empat calon itu ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 59, bekas ketua wanita Parti Keadilan Nasional (KeAdilan) Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56, pengurus syarikat yang juga bekas ketua pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti di sini, Nai- Khan Ari a/l Nai Keow, 41, dan pakar motivasi, Kamarul Ramizu Idris, 42. Sementara itu, Shaharon Anuar berkata, semua penyokong atau petugas parti dan calon Bebas yang bertanding pada pilihan raya kecil itu dilarang sama sekali berarak membawa atau memasang bendera bersaiz besar menggunakan motosikal atau kenderaan. - BERNAMA

Beliau berkata, perbuatan menaiki motosikal di jalan raya sambil mengibarkan bendera atau poster adalah dilarang kerana menyalahi undang-undang.

"Mereka didapati melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 27 (3) Akta Polis 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM2,000 atau penjara tidak lebih dari satu tahun," katanya.

— BERNAMA EIY LIB SN

No comments: