Monday, May 25, 2009

EGM: Murugiah dilantik Presiden

EGM: Murugiah dilantik Presiden


Senator T. Murugiah yang baru dilantik sebagai Presiden PPP dijulang oleh para penyokongnya di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC) Putrajaya, semalam. - UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN


PUTRAJAYA 24 Mei - Kemelut dalaman Parti Progresif Penduduk (PPP) semakin memuncak apabila Senator Datuk T. Murugiah yang sebelum ini dipecat sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT), dipilih sebagai Presiden baru parti itu.

Pemilihan dibuat pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) oleh kira-kira 1,760 perwakilan yang didakwa melibatkan lebih dua pertiga cawangan PPP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Murugiah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dipilih secara sebulat suara sebagai Presiden selepas undi tidak percaya ke atas Datuk M. Kayveas dilulus sekali gus membawa kepada pelucutan jawatan Presiden yang telah disandangnya sejak 1993.

Bercakap kepada pemberita selepas EGM tersebut, Murugiah berkata, beliau akan menghantar semua keputusan mesyuarat tersebut kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) esok bagi menentukan kesahihannya.

Selain itu, beliau juga akan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memaklumkan keputusan EGM tersebut.

''Ini semua adalah keputusan para perwakilan, saya tidak ada apa-apa hendak cakap.

''Bagi perkara yang membabitkan soal perundangan itu, semua saya serahkan kepada peguam,'' katanya yang enggan mengulas lanjut.

Murugiah juga turut kelihatan tidak senang apabila diajukan soalan tentang keadaan yang mana PPP sekarang mempunyai 'dua orang Presiden' berikutan keputusan EGM berkenaan.

Sidang akhbar itu hanya berlangsung kira-kira 10 minit sebelum Murugiah bangun dan keluar dari bilik berkenaan.

Terdahulu, beliau berkata, pihaknya akan berusaha untuk membuat perubahan dalam parti secara sedikit demi sedikit.

Pada 16 Mei lalu, Lembaga Disiplin PPP memecat tujuh ahli parti termasuk Murugiah atas tuduhan melanggar perlembagaan parti.

Murugiah dipecat kerana didakwa menggunakan kedudukannya sebagai timbalan menteri untuk mengatur sidang akhbar pembantu khasnya, N. Shanmuganathan bagi memburuk-burukkan parti dan ahli MT.

Anggota PPP lain yang dipecat ialah M. Jeyaratnam, Shanmuganathan, K. Tanggaraju, S. Kanesan, S. Saravanan dan R. Rajandran kerana didakwa memburuk-burukkan parti, mengamalkan politik wang dan mengadakan pertemuan sulit dengan pengerusi bahagian.

Sementara itu, Pengerusi Majlis EGM tersebut, Mohd. Ali Ibrahim berkata, enam usul dibentangkan pada mesyuarat itu antara lainnya membatalkan keputusan MT memecat Murugiah dan enam lagi ahli parti serta menerima mereka kembali sebagai ahli dengan serta merta.

''Jadi dengan adanya kemasukan Murugiah, maka beliau layak untuk bertanding,'' katanya yang juga Ketua Cawangan PPP Pekan Baru Ampang.

Beliau memberitahu, EGM tersebut turut meluluskan sebulat suara undi tidak percaya dan pemecatan keseluruhan ahli MT yang berada di bawah kepimpinan Kayveas.

Katanya, bagi mengisi kekosongan kesemua jawatan itu, EGM tersebut sebulat suara melantik tiga Naib Presiden baru iaitu Datuk Seri Abdul Rais Ahmad; Lau Beng Sin dan R. Karunakaran serta 25 orang ahli MT.

Beliau berkata, ia juga meluluskan usul agar semua pencalonan bagi pemilihan parti pada 30 Mei ini adalah dibatalkan manakala Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PPP dijadualkan pada 7 Jun ini ditunda.

''Tarikh baru AGM tersebut akan ditetapkan kemudian oleh ROS,'' jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Cawangan PPP Brickfields Utara, M. Jeyaratnam yang membawa usul tidak percaya ke atas semua ahli MT PPP berkata, langkah itu dibuat kerana mereka didapati gagal mengemaskinikan segala laporan parti sejak 2002.

''Setiap tiga bulan, ahli MT akan bermesyuarat dan agendanya ialah membentangkan semua laporan Setiausaha Agung, Ketua Penerangan, Bendahari dan semua sayap parti.

''Selain itu, mereka juga gagal membentangkan laporan kewangan dalam mana-mana AGM sejak 1993,'' katanya.

Beliau berkata, pengerusi-pengerusi negeri juga gagal mengemukakan penyata tahunan kepada ROS sehingga menyebabkan banyak cawangan yang terpaksa dibubarkan.

Setakat ini, katanya, hanya 778 cawangan saja yang aktif daripada keseluruhan 1,083 cawangan di seluruh negara.



PPP kecoh, kini ada dua Presiden

Oleh Saufi Hamzah dan Zef Othman
sofeeham@bharian.com.my


MURUGIAH yang mendakwa Presiden PPP yang baru dijulang ahlinya selepas Mesyuarat Agung Khas di PICC, Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA: Krisis kepemimpinan Parti Progresif Penduduk (PPP) bertambah runcing apabila parti itu kini mempunyai dua Presiden selepas Datuk T Murugiah yang dipecat dua minggu lalu, dilantik sebagai Presiden baru dalam satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) di sini, semalam.

Datuk M Kayveas yang ketika itu menghadiri perhimpunan agung PPP Johor, bagaimanapun menegaskan beliau masih Presiden PPP kerana pelantikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu tidak sah dan menyalahi perlembagaan parti.

Kayveas yang memimpin parti itu sejak 1993, juga mengumumkan Ketua Pemuda PPP, R Ellan Govan digantung daripada jawatannya, berkuat kuasa semalam kerana menghadiri EGM dianjurkan Murugiah itu.

Terdahulu, EGM yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) tanpa kehadiran Kayveas turut memecat semua Exco lama PPP.

Seramai 1,760 perwakilan membabitkan 778 cawangan parti itu yang menghadiri EGM itu memilih tiga Naib Presiden baru � Datuk Seri Abdul Rais Ahmad, R Karunakaran dan Lau Beng Sin, serta 25 ahli Majlis Tertinggi parti berkenaan.

Sebelum itu enam usul diluluskan, termasuk undi tidak percaya terhadap kepemimpinan Kayveas serta membatalkan tindakannya memecat Murugiah sebagai anggota Majlis Tertinggi PPP yang dianggap tidak sah.

Pada sidang akhbarnya, Murugiah mendakwa EGM itu sah kerana dijalankan mengikut perlembagaan parti.

Murugiah berkata, beliau akan membuat kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan diikuti perjumpaan dengan semua pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) bagi memaklumkan keputusan EGM itu.

Beliau juga akan berjumpa Pendaftar Pertubuhan (ROS) hari ini dan menyerahkan kepada ROS untuk membuat keputusan berkaitan perkembangan yang berlaku dalam parti itu.

Mengenai kemungkinan Kayveas akan membawa perkara itu ke mahkamah, Murugiah berkata: "Saya tidak mempunyai masalah."

Ditanya mengapa PPP sekarang mempunyai dua Presiden, Murugiah yang melenting seketika berkata, beliau serahkan perkara itu kepada peguam parti untuk mengendalikannya.

Sementara itu, Kayveas ketika dihubungi Berita Harian Online di Johor Bahru, menegaskan perjumpaan di Putrajaya itu bukannya EGM, tetapi majlis taklimat Murugiah berhubung pemecatannya dalam PPP dan kedudukannya sebagai Timbalan Menteri di JPM.

Beliau berkata, notis perlu dikeluarkan beberapa hari sebelum EGM hendak diadakan dan hanya Setiausaha Agung PPP berhak memanggil mesyuarat itu.

"Lagipun, daripada 1,000 orang yang hadir di Putrajaya itu, 99 peratus bukan ahli PPP. Saya difahamkan 20 bas datang ke majlis beliau. Mereka turut mendapat RM50 serta makanan," katanya.

Kayveas berkata, beliau akan menemui Najib secepat mungkin untuk meminta Timbalan Menteri di JPM itu disingkirkan segera daripada Kabinet kerana Murugiah bukan lagi ahli PPP.

Di JOHOR BAHRU, Ketua PPP Johor Dr K D Siva, berkata Timbalan Ketua Pemuda PPP, Jamaludin Ghulamhan akan mengambil alih tugas Ketua Pemuda berikutan penggantungan Ellan Govan.

Siva berkata, Ellan Govan akan berhadapan dengan Lembaga Disiplin PPP kerana melanggar disiplin parti.

Mengenai pelantikan Murugiah sebagai Presiden PPP, Siva berkata, Timbalan Menteri di JPM itu menyalahgunakan kedudukannya untuk mengubah satu majlis pemimpin bersama rakyat kepada satu perhimpunan agung bagi membolehkan beliau dilantik sebagai presiden.

"Bagaimana itu boleh berlaku jika 600 anggota PPP berada di sini (Johor Bahru). Murugiah tidak boleh menghimpunkan sebahagian rakan-rakannya, berdiri di atas pentas dan mengisytiharkan diri sendiri sebagai presiden baru," katanya.

No comments: