Monday, May 25, 2009

Ellan Govan digantung jawatan

Ellan Govan digantung jawatan

JOHOR BAHRU 24 Mei - Parti Progresif Penduduk (PPP) terus berserabut!

Kali ini, Ketua Pemudanya, R. Ellan Govan pula digantung jawatan serta-merta selepas menghadiri perhimpunan anjuran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah di Putrajaya hari ini.

Pengumuman penggantungan itu diumumkan oleh Presiden PPP, Datuk M. Kayveas selepas merasmikan Konvensyen PPP Johor di sini hari.

Bagaimanapun, Kayveas enggan mengulas lanjut mengenai butiran penggantungan itu.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi PPP, Dr. K. Sivakumar ketika dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, tugas Ellan Govan akan dipangku oleh timbalannya, Jamaludin Ghulamhan.

Sivakumar yang juga Pengerusi PPP Johor berkata, Ellan Govan bakal berhadapan dengan tindakan tegas lembaga disiplin parti kerana didapati melanggar peraturan yang ditetapkan.

Diminta mengulas mengenai pengumuman Murugiah bahawa beliau kini Presiden PPP pada perhimpunan itu, Sivakumar berkata, tindakan berkenaan merupakan penyalahgunaan kuasa.

''Ini kerana beliau menggunakan kedudukannya menjadikan program bertemu rakyat sebagai majlis konvensyen parti,'' katanya.

Sivakumar berkata, perhimpunan itu tidak sah dan menafikan dakwaan Murugiah bahawa seramai 13 ketua bahagian PPP dari Johor menghadiri perhimpunan tersebut, sedangkan tiada seorang pun daripada mereka berada pada perhimpunan itu.

''Bagaimana pula dia boleh menjadi Presiden parti sekiranya terdapat 20 ketua bahagian dan lebih 600 ahli PPP Johor berada di sini,'' katanya.

Beliau mendakwa 90 peratus daripada lebih 1,000 orang yang menghadiri perhimpunan di Putrajaya anjuran Murugiah itu bukan ahli PPP.

''Beliau tidak boleh sekadar menghimpunkan orang ramai, berucap di atas pentas dan kemudian mengumumkan dirinya sendiri sebagai Presiden baru parti,'' katanya

No comments: