Monday, May 25, 2009

Isu ahli Umno Perlis keluar parti gimik

Isu ahli Umno Perlis keluar parti gimik


KANGAR: Isu ahli Umno Perlis keluar parti dan menyertai pembangkang hanya sekadar gimik politik semata-mata, kata Ketua Penerangan Umno negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

Bagi Radzi yang juga Ahli Parlimen Kangar, berkata isu ahli Umno melompat parti bukan lagi perkara baru, malah sudah sekian lama dijadikan gimik murahan demi meraih populariti politik peribadi.

Buat masa sekarang, katanya, Umno dan Barisan Nasional (BN) negeri sudah dimaklumkan mengenai isu itu dan siasatan juga sudah dilakukan.

“Ia hanya gimik yang sengaja ditimbulkan individu atau kumpulan tertentu atas dasar terkilan untuk menunjukkan bukti protes terhadap sesuatu isu terutama mengenai kepimpinan Umno negeri.

"Malah, saya sendiri yakin akan muncul 'hero' atau penyelamat untuk menarik semula penyertaan ahli terbabit, sekali gus membuktikan dirinya mempunyai pengaruh besar terhadap kepemimpinan parti negeri.

"Kita tahu siapa dalang di sebalik isu ini dan apa tujuannya berbuat demikian. Malah, individu terbabit jugalah yang memainkan peranan sabotaj pada kempen parti ketika Pilihan Raya Umum ke-12 lalu," katanya tanpa mendedahkan identiti individu dimaksudkan itu.

Isu ahli dan beberapa pemimpin Umno negeri yang dikatakan berhasrat keluar parti beramai-ramai heboh diperkatakan sejak akhir-akhir ini, terutama selepas tampuk kepimpinan Umno negeri berubah.

Malah, media internet sebelum ini turut melaporkan kira-kira 1,000 ahli Umno Perlis menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Selain itu, bekas Timbalan Ketua Umno bahagian Kangar, Datuk Hashim Suboh, sendiri turut menyatakan hasrat untuk berbuat demikian selepas mendakwa diketepikan barisan kepemimpinan Umno negeri.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu ketika diminta mengulas mengenainya berkata, pihaknya akan menggunakan pendekatan sesuai untuk merapatkan jurang yang wujud sesama ahli, sekali gus mengatasi isu terbabit.

"Ini termasuk mengadaptasi pendekatan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi memastikan matlamat perjuangan dalam parti iaitu untuk berkhidmat kepada rakyat dan bukannya demi kepentingan peribadi, tercapai," katanya.

No comments: