Monday, May 25, 2009

Saravanan hadir atas undangan

Saravanan hadir atas undangan

KUALA LUMPUR 24 Mei - Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan mempertahankan tindakannya hadir pada perhimpunan di Kuil Sri Subramaniar, Gombak, dekat sini hari ini, adalah kerana dijemput oleh World Tamil Relief (WTR).

Jelasnya, beliau memenuhi jemputan itu disebabkan rasa prihatin terhadap nasib masyarakat berketurunan Tamil di Sri Lanka.

Saravanan berkata, pada perhimpunan tersebut, beliau yang turut menyampaikan ceramah telah menyeru masyarakat di dunia supaya mendesak kerajaan Sri Lanka agar menghentikan kekejaman terhadap masyarakat berketurunan Tamil.

"Kerajaan Sri Lanka perlu memberi jaminan dan menyakinkan rakyat berketurunan Tamil bahawa nasib mereka terbela dan tidak dianak tiri.

"Negara-negara antarabangsa perlu mendesak kerajaan Sri Lanka supaya tidak menganiaya orang Tamil," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada perhimpunan hari ini, kira-kira 1,000 penyokong kumpulan pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) berhimpun di Kuil Sri Subramaniar, di Jalan Besar Batu Caves, Gombak, dekat sini hari ini.

Perhimpunan itu sekali gus melanggar amaran polis yang dikeluarkan hari ini supaya semua pihak tidak menyertai perhimpunan berkenaan kerana tidak mendapat permit.

Saravanan menambah, perjuangannya membela nasib masyarakat Tamil di Sri Lanka dilakukan tanpa mengira pangkat, negara atau ideologi politik.

No comments: