Keputusan Mahkamah Rayuan telah dijangka - Pakar perundangan
KUALA LUMPUR 24 Mei - Keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah merupakan sesuatu yang dijangka beberapa pakar perundangan.
Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz berkata, jangkaan itu dibuat kerana beliau berpendapat keputusan Mahkamah Tinggi tempoh hari yang memihak kepada bekas menteri besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah salah.
''Sekurang-kurangnya, pendapat saya sebelum ini yang mengatakan Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang salah apabila berpihak kepada Nizar kini terbukti benar.
''Nizar sebenarnya telah hilang kepercayaan apabila pakatan pembangkang kekurangan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN), justeru membenarkan Sultan Perak melantik menteri besar yang baru.
''Bahkan Nizar tidak pernah memanggil sidang DUN selepas tiga Ahli DUN (ADUN) dari pembangkang menjadi ADUN bebas dan menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN)," jelasnya.
Beliau mengulas keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lalu yang mendapati Nizar merupakan Menteri besar yang sah adalah salah, dan mengetepikan keputusan itu.
Bagaimanapun, Sham Rahayu menegaskan, Nizar masih berhak mencabar keputusan Mahkamah Rayuan hari ini dengan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan pula.
Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang menjelaskan, Nizar mungkin berhadapan dengan kesukaran di Mahkamah Persekutuan nanti kerana keputusan hari ini dicapai sebulat suara oleh tiga orang panel hakim.
''Mahkamah Rayuan mungkin boleh menilai rayuan Nizar tetapi ia berdasarkan ulasan penghakiman. Jika ulasan Mahkamah Rayuan hari ini cukup dan tepat, Mahkamah Persekutuan mungkin tidak akan memfailkan kes ini," katanya.
''Sebagai salah seorang pengamal undang-undang, saya berasa lega dengan keputusan hari ini kerana ia berupaya menenangkan semua pihak terutama rakyat Perak, selain bukti keadilan dan demokrasi hidup subur di bumi ini," katanya.
Dalam pada itu, Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan pula berpendapat, keputusan mahkamah yang berpihak kepada Zambry tidak akan meredakan ketegangan di Perak.
''Selain itu, kes yang berkaitan politik akan memberi tekanan kepada badan kehakiman yang telah, sedang dan akan membicarakan kes Nizar dan Zambry," tegasnya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment