Monday, May 25, 2009

Simpati Kit Siang cuma sandiwara

Simpati Kit Siang cuma sandiwara
Oleh Mohd Anwar Patho Rohman
bhnews@bharian.com.my

Tengku Adnan tidak tahu muslihat hendak dimain Pengerusi DAP

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menganggap Penasihat DAP, Lim Kit Siang hanya bersandiwara ketika mengeluarkan kenyataan berbaur simpati terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Ser Dr Mohamad Khir Toyo yang digantung elaun dan keistimewaan kerana didakwa bersalah menghina Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata Lim juga mempunyai muslihat tertentu dalam isu berkenaan sehingga mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah mahu membela Dr Mohamad Khir.

"Kita tidak tahu muslihat yang dia nak mainkan. Ia mainan yang mungkin ada kepentingan untuk mereka. Ada udang di sebalik batu," katanya ketika dihubungi, semalam.

Tengku Adnan mengulas kenyataan Lim yang disiarkan dalam blognya kononnya DUN Selangor tidak wajar menggantung elaun bekas Dr Mohamad Khir yang juga Ketua Pembangkang kerana seseorang Adun dipilih oleh pengundi yang mewakili pengundi pada peringkat kerajaan negeri.

Lim yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur mendakwa, pengundi tidak harus diletakkan dalam keadaan tidak menentu kerana tidak ada Adun untuk mewakili mereka walaupun digantung menghadiri sidang DUN.

Pada 19 Mei lalu, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Selangor (JKHK) mendapati Dr Mohamad Khir yang juga Adun Sungai Panjang dan empat anggota DUN lain BN bersalah menghina dewan itu.

Jawatankuasa itu memperakukan Dr Mohamad Khir digantung selama setahun daripada menghadiri sidang dewan tanpa elaun dan keistimewaan kerana gagal menghadiri siasatan oleh Jawatankuasa Pilihan mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) pada Mac.

Sementara itu, Dr Mohamad Khir berkata, Lim dan DAP hanya berlakon untuk mendapat perhatian orang ramai kononnya parti itu tidak bersikap zalim.

"Tetapi hukuman yang dikenakan ke atas saya dan empat Adun lain adalah zalim dan tidak pernah dibuat mana-mana kerajaan negeri sebelum ini.

"Mereka tidak layak memperjuangkan keadilan dan mahu menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mereka lebih zalim," katanya.

No comments: